SPRM Teruskan Usaha Membongkar, Bertindak Terhadap Petualang Rasuah – Anwar

KUALA LUMPUR- Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu.

Kata Ketua Pembangkang itu, sikap tegas kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti.

“Saya menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terkait usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, Azam memberitahu usaha untuk membawa pulang setiap sen dana 1MDB yang diseleweng masih belum selesai.

Malah kata beliau, pada tahun 2020 sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada 2021.

Menurut Azam lagi, sejak 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB termasuklah melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu.