80 lokaliti dikenal pasti laksana projek rintis basmi miskin tegar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Sebanyak 80 lokaliti seluruh negara dikenal pasti untuk pelaksanaan projek rintis Fasa 1 Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dijadualkan bermula akhir bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata secara keseluruhan, sebanyak 160 lokaliti seluruh negara terbabit dalam pelaksanaan tiga fasa program berkenaan.

Beliau berkata, 10 lokaliti di Sarawak yang terbabit dalam program rintis fasa pertama itu ialah Gedong; Kampung Seberang Sebuyau, Sebuyau; Kampung Bakong, Lingga; Long Kajang, Belaga; Kampung Spaoh, Betong; Ulu Tinjar, Baram; Pakan; Lawas; Daro dan Telang Usan.

“Tumpuan akan terus diberikan kepada Sarawak kerana negeri ini merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi pada 2019, iaitu 9.0 peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

“Matlamat program BMTKM ialah mencapai kemiskinan tegar sifar pada 2025, sebagaimana ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam usaha merapatkan jurang serta menangani masalah ketidaksamaan pembangunan yang masih wujud antara wilayah dan negeri,” katanya memetik BH.

Beliau demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mustapa menjelaskan, BMTKM adalah pelengkap kepada program pembasmian kemiskinan sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi.

“Berbeza dengan pendekatan sedia ada dalam strategi pembasmian miskin tegar yang dilaksanakan secara berasingan mengikut fungsi kementerian dan agensi masing-masing, program BMTKM mengguna pakai pendekatan keseluruhan negara serta holistik yang membabitkan golongan sasar tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

“BMTKM juga mengguna pakai pendekatan dari bawah ke atas yang membabitkan penyertaan akar umbi serta golongan sasar dalam merangka program, dengan kaedah penyelesaian kemiskinan secara bersasar dan berbeza bagi setiap lokaliti mengikut keperluan di kawasan terbabit,” katanya.

Selain pembabitan agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan, negeri serta daerah, Mustapa berkata, program BMTKM juga membabitkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti universiti awam, pihak swasta, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi berasaskan komuniti dan pemimpin setempat.

“Tidak seperti program membasmi kemiskinan tegar sebelumnya, BMTKM mempunyai dasar pemisah yang jelas selepas berlangsung selama dua hingga tiga tahun.

“Program BMTKM menekankan aspek pemantauan yang berfokus melalui kerjasama dengan universiti awam dan pelantikan pegawai khusus di setiap negeri,” katanya sambil memaklumkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan memantau pelaksanaan program BMTKM di Sarawak.

Program BMTKM diselaraskan dua agensi utama Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat