KUALA LUMPUR, – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman membuktikan badan antirasuah itu benar-benar bebas dan tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, pelantikan Abdul Halim datang bersama harapan besar rakyat, bukan sekadar untuk meneruskan peranan sedia ada, tetapi memulihkan keyakinan terhadap SPRM sebagai institusi yang bebas dan berwibawa.
“Pelantikan ini datang dengan harapan yang besar bukan sekadar meneruskan peranan, tetapi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berwibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, tanggungjawab itu menuntut keberanian moral yang tinggi untuk bertindak tanpa gentar, tanpa pilih kasih dan tanpa tunduk kepada sebarang tekanan politik atau kepentingan tertentu.
Tegas beliau, SPRM tidak boleh sama sekali dilihat, apatah lagi dijadikan sebagai alat mana-mana pihak.
“Rakyat sedang memerhati. Mereka mahukan sebuah SPRM yang tegas, telus dan konsisten yang bertindak berlandaskan undang-undang, menjunjung keadilan dan tidak berkompromi dalam memerangi rasuah di semua peringkat.
“Inilah masanya untuk membuktikan bahawa SPRM benar-benar bebas bukan hanya pada nama, tetapi pada tindakan,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Abdul Halim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei ini bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan dibuat selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Abdul Halim, 69, mempunyai latar belakang perundangan dan kehakiman yang luas, termasuk pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi serta memiliki pengalaman lebih empat dekad dalam sistem kehakiman dan perkhidmatan awam.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Hull, United Kingdom. – SuaraTV



