‘Jangan Tuduh Derhaka’ – Guan Eng Pertahan ADUN DAP Dalam Kontroversi Penternakan Babi

CYBERJAYA –  Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyelar PAS dan Perikatan Nasional (PN) kerana didakwa mengapi-apikan sentimen terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki susulan cadangannya agar kerajaan Selangor menilai semula pendekatan terhadap industri penternakan babi menerusi sistem moden dan terkawal.

Menurut Guan Eng, cadangan dibangkitkan Wong di Dewan Negeri Selangor itu adalah sebahagian hak beliau sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan pandangan serta kebimbangan rakyat, dan tidak sepatutnya dilabel sebagai tindakan “derhaka” seperti didakwa pihak tertentu.

Beliau turut membidas PAS kerana didakwa mengamalkan dwi standard apabila menyerang Wong, sedangkan menurutnya parti itu tidak mengambil tindakan terhadap pemimpin sendiri berhubung insiden Ordinan Darurat pada 2021 yang menyaksikan Istana Negara menzahirkan rasa “amat dukacita” terhadap kenyataan dibuat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

“Wong tidak mengelirukan Dewan Negeri Selangor atau membuat kenyataan palsu terhadap Sultan Selangor. Beliau hanya mencadangkan semakan semula pengurusan industri itu secara moden dan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng turut mempersoalkan tindakan PAS yang menyasarkan seorang wakil rakyat muda wanita hanya kerana menjalankan tanggungjawab rasmi di dewan negeri, selain melahirkan kekesalan terhadap pendirian UMNO yang dilihat seiring dengan PAS dalam isu berkenaan.

Kontroversi tercetus selepas Wong dalam sidang DUN Selangor pada 22 April lalu mencadangkan model penternakan babi moden dipertimbang semula, sebelum menerima kritikan keras pembangkang termasuk demonstrasi di pusat khidmatnya.

Mengulas tekanan dihadapi Wong, Guan Eng berkata wakil rakyat itu wajar terus bertegas dan tidak tunduk kepada ugutan, sambil menegaskan beliau mendapat sokongan DAP serta rakyat yang mempertahankan hak bersuara wakil rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat