Kejadian kehilangan kanak-kanak sememangnya antara kes yang sering menjadi tumpuan masyarakat. Biarpun kebanyakan kes dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa, namun ada juga segelintir kes yang terus menjadi misteri. Justeru, ia mencetuskan inspirasi buat syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. untuk menerbitkan sebuah filem berjudul TELAGA SURIRAM.
Pengarah terkenal, Osman Ali, berkata filem berkenaan diinspirasikan daripada secebis kisah lama — sebuah tragedi yang dikaitkan dengan kematian kanak-kanak yang terjatuh ke dalam telaga.
“Terdapat mitos rakyat dahulu yang mempercayai bahawa telaga-telaga lama berhantu dan mengambil nyawa manusia. Kami rasa kisah sebegini wajar difilemkan, menggabungkan elemen mistik dan dramatik dengan kepercayaan tradisional,” jelas Osman.
Telaga Suriram mengisahkan kejadian kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram, yang kehilangannya menjadi misteri dan teka-teki penduduk kampung. Istimewanya, filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon cilik Puteri Rafasya.
Menurut Osman, karya ini berbeza daripada filem seram yang biasa di pasaran.
“Ia bukan hanya bergantung pada elemen kejutan atau hantu. Saya mahu menyorot bagaimana sebahagian masyarakat masih terperangkap dengan mitos yang diwarisi dan bagaimana ia membentuk reaksi terhadap tragedi,” katanya.
Dari segi pembikinan, filem ini turut berdepan pelbagai cabaran, terutamanya kerana lokasi penggambaran yang dijalankan di kampung-kampung tradisional sekitar Perlis, Kedah, dan Perak — tempat yang kaya dengan kisah mistik tersendiri. Pengarah berkongsi bahawa terdapat kru produksi yang mendakwa mengalami pengalaman aneh seperti terdengar suara misteri dan ternampak kelibat pelik.
Sementara itu, penerbit Yus Yusop menyatakan bahawa idea untuk menghasilkan filem ini lahir daripada minat terhadap cerita rakyat yang kaya dengan unsur sejarah dan elemen ghaib.
“Proses pembikinan mengambil masa hampir tiga tahun sejak 2022 — dari skrip hingga pascaproduksi. Tapi kami percaya hasilnya berbaloi dan mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton,” ujar Yus.
Kemuncak kepada penantian ini dirai melalui tayangan perdana yang berlangsung pada 24 April 2025 (Khamis) bertempat di DADI CINEMAS, Pavilion Kuala Lumpur. Acara tersebut dihadiri oleh para pelakon, krew produksi, penggiat seni dan rakan media. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan, dengan ramai memuji keunikan naskhah ini yang tampil berani dan berbeza daripada filem seram tipikal.
Penonton tayangan perdana turut memberikan reaksi positif terhadap lakonan mantap para pelakon serta penceritaan yang penuh emosi dan misteri. Karpet merah malam itu diserikan lagi dengan penampilan para pelakon utama yang tampil memukau — memberi bayangan bahawa Telaga Suriram bukan sekadar filem, tetapi satu pengalaman sinematik yang lengkap.
Menambahkan lagi keistimewaan filem ini, lagu tema berjudul “Sesal” yang dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah menjadi elemen penting yang menyempurnakan emosi cerita. Lagu bernuansa balada ini menzahirkan kedukaan, penyesalan dan kasih seorang ibu terhadap anaknya, selari dengan nadi penceritaan Telaga Suriram. Melodi yang menyentuh hati dan lirik yang mendalam menjadikan “Sesal” bukan sahaja sebuah OST, tetapi juga naratif muzik yang menyatu dalam filem ini.
Telaga Suriram merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali dan merupakan terbitan sulung Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Films. Ia bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025.