KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memberi bayangan jelas untuk tidak akan kembali menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk Kerajaan Perak.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan hasrat yang dikemukakan oleh pemimpin PN itu sebagai mimpi di siang hari.
Menurutnya, cadangan tersebut datang dalam keadaan terdesak, khususnya selepas PN didakwa kehilangan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) yang hanya tinggal beberapa jam.
“Bagus kalau (kerjasama) dibuat lebih awal. Tapi kalau di Ayer Kuning ini baru nak cadang, saya ingat ini pukul 12.30 tengah hari… kalau mimpi maknanya ia mimpi di siang hari,” katanya sinis.
Zahid berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Santuni Kasih Syawal di Kampung Orang Asli Sungai Kroh Dalam di Tapah pada Jumaat, lapor Sinar Harian.
Mengulas kenyataan pemimpin PN yang mendakwa ahli Umno lebih cenderung kepada PN berbanding parti itu yang bekerjasama dengan DAP, beliau menegaskan bahawa rakyat kini semakin bijak menilai dan tidak lagi terpengaruh dengan sentimen lapuk.
“Dulu mereka (PN) pun pernah bekerjasama, jadi tidak timbul isu itu lagi.
“Pengundi di Ayer Kuning tidak tertarik dengan permainan seperti ini,” tegasnya.
Menurut Presiden Umno itu, jentera BN telah digerakkan ke peringkat akar umbi dan kini berada dalam kesiapsiagaan optimum bagi memastikan kemenangan calon BN serta meneruskan legasi perkhidmatan Allahyarham Ishsam Shahruddin.
Zahid turut menyifatkan tindakan PN yang terus mengulangi isu lama termasuk kerjasama Umno dan DAP sebagai usaha terdesak untuk mengalih perhatian daripada kegagalan mereka menawarkan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat.
“Ia bukan isu baharu. Isu nasional yang sama dimainkan di (PRK DUN) Pelangai, Mahkota, Nenggiri dan kini di Ayer Kuning.
“Sedangkan isu tempatan banyak sudah pun diselesaikan, tapi dibangkitkan semula walaupun tidak relevan,” katanya.
Semalam, sebuah portal berita memetik kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai berkata, gabungan Umno-PN akan mewujudkan majoriti besar bagi membentuk kerajaan Perak.
Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, kekuatan itu membolehkan agenda memperjuangkan isu rakyat semakin mudah.