Kadar dividen KWSP kekal sama untuk ketiga-tiga akaun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Berbeza berbanding skim persaraan diamalkan di beberapa negara lain, dividen akan kekal sama bagi ketiga-tiga akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Akuan Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Zulqarnain Onn, berkata dalam beberapa skim, lazimnya terdapat perbezaan dari segi kadar dividen iaitu yang fleksibilitinya yang lebih besar, maka pulangan lebih rendahnya, namun KWSP tidak akan berbuat demikian buat masa ini.

“Ya, buat masa sekarang dividen untuk semua ketiga-tiga akaun, akan kekal sama. (Namun) Ini tidak bermakna dividen untuk semua akaun itu akan kekal sama sepanjang masa pada masa akan datang,” kata beliau ketika ditanya mengenai perkara itu dalam sesi taklimat kepada pengarang media di ibu pejabat KWSP di Kwasa Damansara baru-baru ini.

Berdasarkan semakan dana persaraan Singapura iaitu Central Provident Fund (CPF), kadar faedah dari 1 Januari 2024 hingga 31 Mac 2024 adalah 4.08 peratus untuk Akaun Persaraan (RA); 4.08 peratus untuk Akaun Khas dan Medisave (SA dan MA) serta 2.5 peratus untuk Akaun Biasa (OA).

Selain itu, ia antara lain menyediakan ahlinya bawah 55 tahun memperoleh faedah tambahan 1.0 peratus pada baki pertama gabungan tabungan S$60,000, manakala untuk ahli berumur atas 55 tahun tambahan 2.0 peratus untuk baki pertama gabungan tabungan S$30,000 dan tambahan 1.0 peratus untuk baki S$30,000 selanjutnya.

Sementara itu, KWSP baru-baru ini mengumumkan dividen 5.5 peratus dan 5.4 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan shariah bagi 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 yang mana dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi simpanan shariah.

Tengahari tadi, KWSP mengumumkan pengenalan Akaun 3 dikenali sebagai Akaun Fleksibel sebagai pilihan bagi sejumlah 16.07 juta ahlinya.

Akaun Fleksibel itu menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek ahli dana persaraan itu dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, mulai 11 Mei, 2024, akaun ahli di bawah usia 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga kemudahan iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing kekal dalam Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan sewaktu persaraan; Akaun Sejahtera (bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan) manakala Akaun Fleksibel bermula dengan baki sifar.

Kalangan ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel juga boleh dibuat menerusi dalam talian melalui i-Akaun KWSP atau di mana-mana cawangan di seluruh negara, katanya.

Pendaftaran i-Akaun itu adalah digalakkan bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

Selain itu bagi Akaun 55 dan Akaun Emas yang menyamai amalan sedia ada, semua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55.

“Caruman baharu ahli mulai usia 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas,” katanya. – BH

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat