KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat ahli perniagaan Victor Chin yang menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk membantu menyelesaikan isu skandal ‘mafia korporat’.
“Jika SPRM sudah selesai berhari raya, dimohon untuk siasat Victor Chin kerana sudah mengaku beri RM9.5 juta kepada seorang MP PKR.
“Takkanlah nak tunggu kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula,” tempelak Fadhli dalam hantaran di Facebook beliau pada Rabu.
Hal ini selepas pendedahan Victor Chin yang menuduh seorang Ahli Parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.
Dia juga mengancam untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu, jika wang itu tidak dikembalikan kepadanya.
Dalam dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa yang didakwanya, Victor Chin berkata bahawa ahli parlimen yang tidak dinamakan itu memintanya untuk mengatur wang tunai RM10 juta, untuk menyelesaikan masalah Victor dengan bercakap dengan “geng mafia korporat.”
“Saya berjaya menguruskan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepadanya, kerana ahli parlimen ini tidak menyelesaikan isu itu. Tiada wang yang pernah diserahkan kepada kumpulan mafia korporat.
“Saya mengeluarkan pesanan kepada ahli parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda,” katanya.
Dalam satu lagi kenyataan panjang lebar, Chin mengulangi rayuannya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ismail untuk “membongkar kebenaran” di sebalik dakwaan skandal ‘mafia korporat’.



