KANGAR, – Umat Islam di Perlis diseru menunaikan solat sunat istisqa susulan keadaan kemarau dan cuaca panas yang melanda negeri itu, dengan pelaksanaan peringkat negeri ditetapkan di Dataran Istiadat, Istana Arau pada 26 Mac ini jam 8 pagi.
Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menegaskan bahawa keadaan cuaca kering dan kekurangan air perlu diinsafi sebagai ujian yang menuntut umat Islam bermuhasabah serta memperbanyakkan doa memohon hujan rahmat daripada Allah SWT.
Baginda turut menyeru seluruh lapisan masyarakat hadir dengan jiwa yang penuh penyesalan, meningkatkan ketakwaan, meninggalkan maksiat dan kezaliman, memperbanyakkan sedekah, berpuasa serta saling memaafkan sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Dalam masa sama, Jabatan Mufti Negeri Perlis mengeluarkan panduan pelaksanaan solat istisqa yang antara lain menetapkan ia ditunaikan dua rakaat seperti solat Hari Raya, dengan tujuh takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.
Panduan itu turut menyatakan waktu paling afdhal menunaikan solat istisqa ialah pada waktu pagi sebagaimana solat Hari Raya, dan ia digalakkan dilaksanakan di tanah lapang sebagai mencontohi amalan Rasulullah SAW.
Selain itu, tiada azan dan iqamah dilaungkan bagi solat berkenaan, manakala khutbah boleh dilakukan sebelum atau selepas solat mengikut keluasan yang diiktiraf ulama.
Orang ramai juga disaran keluar menuju tempat solat dalam keadaan merendah diri dan penuh kekhusyukan, termasuk melibatkan wanita, kanak-kanak, warga emas dan golongan yang memerlukan doa sebagai usaha memperkuatkan permohonan hujan.
Menurut panduan itu lagi, imam dan jemaah disunatkan mengangkat tangan dengan bersungguh-sungguh ketika berdoa serta menzahirkan sunnah menebalikkan selendang ketika memohon hujan.
Bagi pelaksanaan di masjid seluruh negeri, doa istisqa akan dibacakan dalam khutbah Jumaat bermula 27 Mac sehingga tempoh yang akan dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Jemaah yang hadir turut dinasihatkan membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk dari rumah dan menjaga kesihatan termasuk memakai pelitup muka bagi mereka yang uzur.
Pejabat Mufti Perlis menegaskan bahawa solat istisqa boleh diulangi jika hujan masih belum turun kerana Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam berdoa dan memohon pertolongan.



