KUALA LUMPUR: Sebuah lagi filem tempatan, The Assistant melakar kejayaan awal apabila disenarai pendek untuk bersaing pada Far East Film Festival (FEFF) Ke-24 di Udine, Itali pada 22 April ini.
Filem yang menampilkan lakonan hebat Iedil Dzuhrie Alaudin dan Hairul Azreen itu bakal membuat tayangan perdana di festival berkenaan, selain julung kali dipertontonkan pada festival filem antarabangsa.
Berkongsi berita gembira itu, Pengerusi Malaysia International Film Festival (MIFFest), Joanne Goh teruja dengan pencapaian diraih filem hasil sentuhan suradara terkenal, Adrian Teh itu.
“Saya benar-benar teruja apabila dimaklumkan FEFF di Itali bahawa filem The Assistant disenarai pendek dan bakal dipertontonkan pada tayangan perdana di platform antarabangsa.
“Membawa filem Malaysia yang cemerlang memasuki visi industri filem antarabangsa sudah menjadi misi MIFFest selama ini.

“Ini adalah tahun pertama MIFFest dan FEFF bekerjasama. Kami harap kerjasama ini dapat membawa pencapaian baharu kepada industri perfileman dan televisyen (TV) di Timur dan Barat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Adrian yang pernah mengarahkan filem Paskal, Wira dan Pasal Kau bangga dengan pengiktirafan antarabangsa ke atas buah tangannya itu.
“Sebagai pembikin filem, saya bangga kerana ini adalah pengiktirafan terhadap hasil kerja kami. Saya ingin berterima kasih kepada MIFFest atas bantuan dan sokongan diberi.
“Saya cukup menantikan tayangan perdana itu. Saya berharap penonton di Udine akan suka dengan filem ini,” katanya.
Namun, Adrian berkata, kejayaan tidak akan dicapai tanpa kerjasama dan komitmen padu daripada pihak produksi filem terbabit.
“Tanpa usaha anda semua, kita tidak mampu menghasilkan filem unggul,” katanya.
The Assistant mengisahkan Zafik lakonan Iedil iaitu lelaki yang terpaksa merengkuk dalam penjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya.
Selepas hilang segala-galanya, Zafik kemudian bertemu dengan Feroz lakonan Hairul yang sering muncul pada waktu yang tepat.
Sepanjang perkenalan, berlaku pelbagai konflik dan pertarungan hingga pertumpahan darah.
Filem yang menelan belanja RM6 juta ini turut menampilkan Henley Hii dan Farali Khan.
Mengetengahkan genre ‘thriller’ dan aksi, The Assistant adalah kolaborasi Sony Pictures Entertainment Malaysia dan
Act 2 Pictures.
Filem ini bakal menemui penonton di Malaysia pada 19 Mei depan.
Berita Harian