KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 merupakan langkah strategik Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan komitmen di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pindaan ini membolehkan agihan kuasa perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak melalui mekanisme Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, pindaan ini tidak memansuhkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sebaliknya memberi ruang pelaksanaan yang lebih bersesuaian dengan keperluan tempatan di Sabah dan Sarawak.
“Sistem pemantauan, kawal selia dan pematuhan obligasi antarabangsa tetap dipelihara bagi memastikan tahap perlindungan alam sekitar negara kekal konsisten dan berintegriti.
“Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan proses ‘hand holding’ sejak tahun 2022 bagi memastikan kedua-dua negeri bersedia sepenuhnya dari segi perundangan, teknikal, penguatkuasaan dan sistem pelaporan sebelum kuasa ini diserahkan.
“Langkah ini mencerminkan pendekatan federalisme matang — memperkasa negeri tanpa mengorbankan standard nasional,” katanya.
Jelas Arthur, RUU ini memberi kuasa kepada Menteri untuk menggantung pemakaian Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) di bahagian tertentu Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Tujuan utama RUU ini ialah bagi membolehkan Sabah dan Sarawak mengambil alih kuasa perundangan berkaitan pengurusan dan penguatkuasaan buangan terjadual, selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan dan komitmen MA63.
Namun ditegaskan pindaan RUU ini tidak memansuhkan undang-undang alam sekitar.
“Sistem pemantauan dan kawal selia nasional tetap berjalan. Pemberian kuasa hanya dibuat selepas negeri memenuhi 9 syarat kesiapsiagaan yang ditetapkan,” ujarnya.
Menjelaskan implikasinya, Arthur berkata Sabah dan Sarawak boleh melaksanakan pengurusan buangan terjadual mengikut keperluan tempatan.
“Perlindungan alam sekitar kekal konsisten di seluruh negara.
“Tiada kekosongan undang-undang kerana penguatkuasaan dibuat secara serentak dengan undang-undang negeri,” katanya.



