KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 April 2022, telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak berhubung dengan pemberian kuasa bagi pengurusan dan kawal selia sisa buangan terjadual di darat atau ke dalam perairan negeri masing-masing melalui pemakaian Perkara 95C di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjelaskan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen penting yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 di mana Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura bersatu menjadi satu persekutuan baharu atas prinsip kepercayaan, kerjasama dan keadilan.
“Hak-hak dan kuasa-kuasa autonomi yang diperuntukkan khas kepada wilayah Sabah dan Sarawak akan sentiasa dipelihara malah ditambah baik selaras dengan perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia satu ketika dahulu. MA63 juga telah diberi pengiktirafan undang-undang tertinggi melalui Perlembagaan Persekutuan. Justeru, pindaan kepada Akta 127 ini adalah selari dengan semangat federalism dalam Perlembagaan Persekutuan yang sama-sama kita junjung.
“Bagi merealisasikan semangat ini, terdapat keperluan dari segi perundangan untuk meminda Akta 127 bagi memberikan kuasa kepada Menteri menggantung pemakaian Akta tersebut, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, di bahagian-bahagian tertentu di Malaysia, bagi memastikan proses pemberian kuasa dapat dilaksanakan secara teratur.
“Bagi memastikan proses pemberian kuasa dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan, pelbagai gerak kerja telah dimulakan sejak tahun 2022 melalui penganjuran sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat yang melibatkan penyertaan aktif Kerajaan Sabah dan Sarawak. Di samping itu, pemantauan secara berkala turut dilaksanakan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang terus bersidang sehingga kini bagi memastikan pelaksanaan pemberian kuasa ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Taklimat khas kepada Jawatankuasa Pilihan (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Kelima Belas Bil. 3 Tahun 2026 pada 28 Januari 2026 juga telah dilaksanakan. Rang Undang-Undang ini telah diperakukan oleh Jabatan Peguam Negara pada 19 November 2025 dan seterusnya diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 30 Januari 2026.
“Secara keseluruhannya, cadangan pindaan Rang Undang-Undang ini telah melalui proses perundangan serta sesi libat urus yang menyeluruh dan teratur, dengan semua pihak berkepentingan menyatakan sokongan terhadap usaha ini. Pindaan yang dicadangkan bukan sahaja bertujuan memperkukuh tadbir urus pengurusan pembuangan sisa terjadual, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menunaikan obligasi serta memperkasa semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya dalam bacaan kali kedua peringkat Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026.
Menurut Arthur, kelulusan bagi Rang Undang-Undang ini amatlah penting serta memerlukan sokongan semua pihak dan Ahli Dewan yang mulia ini untuk memastikan hak-hak kepada Sabah dan Sarawak dapat dikembalikan sepertimana yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Izinkan saya untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] merupakan suatu akta yang digubal untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, membaiki alam sekeliling dan bagi maksud-maksud yang berkaitan dengannya.
“Akta 127 ini terpakai di seluruh negara. Pindaan pada kali ke-8 ini (tahun 2026) bertujuan untuk membolehkan pelaksanaan keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pemakaian Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa perundangan kepada Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan peruntukan tertentu di bawah akta ini, khususnya berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual.
“Rang Undang-Undang ini mengandungi 2 fasal yang melibatkan 1 seksyen di bawah Akta 127. Perkara penting dalam pindaan ini adalah seperti berikut iaitu Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan.
“Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 1 Akta 127 dengan memasukkan subseksyen (3) baharu untuk memberikan Menteri kuasa untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta ini di bahagian-bahagian yang berlainan di Malaysia.
“Kelulusan bagi Rang Undang-Undang ini amatlah penting serta memerlukan sokongan semua pihak dan Ahli Dewan yang mulia ini,” katanya.



