NUJM kecam tindakan intimidasi seorang pemimpin GLC, tarik kad media wartawan

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pemimpin sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa telah melakukan intimidasi secara terbuka terhadap seorang wartawan semasa sidang akhbar yang dihadiri seorang menteri pada 19 Jan lalu.

NUJM dalam kenyataan memandang serius insiden ini apabila individu berpangkat tinggi itu bertindak mempertikai dan mempersoalkan pertanyaan wartawan yang menyentuh satu kejadian di sebuah negeri, meskipun soalan itu dijawab dengan baik dan berhemah oleh menteri berkenaan.

“Tindakan sedemikian jelas tidak wajar, tidak profesional dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media.

“Lebih membimbangkan, NUJM difahamkan
pemimpin GLC itu bertindak menarik kad media wartawan berkenaan secara kasar sejurus menteri meninggalkan sidang akhbar, di hadapan pengamal media lain, ”kata kenyataan itu.

Katanya, perbuatan ini bukan sahaja bersifat intimidasi, malah boleh ditafsirkan sebagai cubaaan menakut-nakutkan wartawan dalam menjalankan tugas rasmi. Tindakan ini turut mengejutkan kakitangan agensi berkenaan sendiri yang berada di lokasi sidang akhbar.

“Sehingga kini, NUJM dimaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan maaf atau penjelasan rasmi serta setimpal dikemukakan oleh individu terbabit kepada wartawan berkenaan yang juga ahli NUJM.

“Kakitangan agensi yang melihat insiden itu tampil memohon maaf, manakala pihak agensi didakwa menghubungi pihak pengurusan tertinggi organisasi media wartawan terbabit,”katanya lagi.

NUJM menegaskan, sebarang bentuk intimidasi, ancaman atau penyalahgunaan kuasa terhadap wartawan di lapangan
adalah sama sekali tidak boleh diterima.

Ujarnya, wartawan menjalankan tugas berdasarkan tanggungjawab profesional dan arahan editorial, bukannya untuk menyenangkan mana-mana pihak berkepentingan.

NUJM mengingatkan sekali lagi, peranan media sebagai pemantau kuasa dan sumber maklumat kepada rakyat adalah tunjang kepada sistem demokrasi.

“Sebarang tindakan tidak beretika oleh mana-mana kenamaan kerajaan bukan sahaja mencabuli kebebasan media, malah mencemarkan imej Kerajaan Madani yang selama ini menzahirkan komitmen terhadap keterbukaan, ketelusan dan penghormatan kepada media sebagai ‘kuasa ketiga’ demokrasi.

“Sehubungan itu, NUJM menuntut penjelasan daripada pihak agensi terbabit terhadap wartawan berkenaan. NUJM juga menggesa kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,”tambahnya.

Tambahnya lagi, NUJM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menekan, mengugut atau menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka dengan bebas, selamat dan beretika. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat