BN pertahan Lamag dan Kinabatangan, menang dengan majoriti lebih besar

KINABATANGAN – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dengan kemenangan bergaya apabila mencatat majoriti jauh lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Di Parlimen Kinabatangan, calon BN, Mohd Naim Kurniawan Moktar atau lebih dikenali sebagai Naim Moktar, menang bergaya dengan majoriti 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 19,852 undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan yang meraih 5,638 undi, manakala calon Bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi.

Sementara itu di DUN Lamag, BN turut mencatat kemenangan besar apabila calonnya Mohd Ismail Ayob, atau Miha, menewaskan Mazliwati Abdul Malek dari Warisan dengan majoriti 5,681 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Mohd Ismail memperoleh 7,269 undi, manakala Mazliwati meraih 1,588 undi.

Keputusan rasmi kedua-dua PRK itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah, di pusat penjumlahan undi Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, malam ini.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Bung Moktar mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, beliau menang di Lamag dengan majoriti tipis 153 undi.

Dalam pada itu, Dr Eddy memaklumkan sebanyak 369 kertas undi ditolak bagi PRK Parlimen Kinabatangan, manakala 160 kertas undi ditolak bagi PRK DUN Lamag.

Peratusan keluar mengundi bagi DUN Lamag direkodkan sebanyak 64.93 peratus dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 9,024 undi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta memaklumkan keseluruhan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat