Tabung Amanah NCTF Tawar Pembiayaan Sehingga RM1 Juta – Dr Shamsul

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta institut pengajian awam, dipelawa untuk mengemukakan permohonan bagi cadangan (RFP) bagi pembiayaan di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) bagi tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan hari ini berkata, RFP pembiayaan itu meliputi tujuh bidang fokus, bagi memastikan Tabung Amanah NCTF itu lebih menjurus kepada bidang fokus dan keutamaan berkaitan hutan dan biodiversiti.

Tujuh bidang itu ialah penggunaan teknologi dan pendigitalan pengurusan hutan; pemuliharaan spesies liar flora dan fauna selain harimau, termasuk kajian ‘non-detrimental findings’ (NDF); kajian jumlah nilai ekonomi (TEV) dan pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem (PES), serta pemuliharaan dan pengurusan ekosistem serta tapak ekologi penting termasuk kawasan ekopelancongan.

Bidang lain ialah pengurusan dan pencalonan baharu kawasan berkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti tapak-tapak Ramsar, ‘Man and Biosphere’ (MAB) dan pengiktirafan geopark; pemuliharaan biodiversiti marin dan perikanan darat; dan pembangunan kapasiti dan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA), untuk akses kepada sumber biologi serta perkongsian faedah (ABS).

“Setiap pemohon boleh memohon pembiayaan dana sehingga jumlah maksimum RM1 juta, dengan tempoh projek antara enam bulan hingga dua tahun,” kata Shamsul Anuar.

Beliau berkata RFP, dokumen-dokumen projek dan borang permohonan boleh diperoleh di portal NCTF (http://www.ketsa.gov.my/ms-my/biodiversiti/nctf/Pages/default.aspx) dan hendaklah dikemukakan kepada sekretariat NCTF sebelum 30 Jun.

Menurutnya, tabung amanah NCTF ditubuhkan pada 2015 bagi membiayai pelaksanaan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pengurusan dan perlindungan sumber, kesedaran, serta usaha-usaha konservasi.

Sejak ditubuhkan, katanya kementerian telah meluluskan 41 kajian di mana 17 kajian telah selesai dilaksanakan.

Shamsul Anuar berkata kementerian juga mengalu-alukan sumbangan pihak bukan kerajaan, khususnya sektor swasta kepada tabung amanah NCTF.

Pihak yang ingin menyumbang kepada tabung amanah NCTF boleh berbuat demikian dengan menyalurkan peruntukan kepada akaun bernombor 160140010004397, Alliance Islamic Bank Berhad (Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat