Percepat Inisiatif Pembangunan, Sedenak Jadi ‘Flagship’ ke-6 Iskandar Malaysia

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah memulakan inisiatif membangunkan Mukim Sedenak, yang terletak di utara Iskandar Malaysia untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu dan daerah-daerah berdekatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sedenak akan menjadi ‘flagship’ keenam di Iskandar Malaysia selepas Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai Skudai.

“Pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain. Sedenak memberi tumpuan kepada industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.  

“Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga pengerusi bersama IRDA mempengerusikan mesyuarat ahli pihak berkuasa itu di sini hari ini secara maya yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Dalam pada itu beliau berkata, Iskandar Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Jelasnyaa, sepanjang tahun 2021, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

“Melalui ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ (IMEG), sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerjapekerja baru termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.

“Sementara itu, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu, sejumlah 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25% hingga 65% melalui skim penjanaan pendapatan.

“Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.

“Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya lagi.

Ismail Sabri menambah, pandemik COVID-19 ini juga terus memberi tekanan kepada agenda untuk meneruskan inisiatif kemampanan Iskandar Malaysia.

Oleh itu katanya, Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju meneruskan dan menyegerakan inisiatif-inisiatif utama seperti Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO), Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).

“Inisiatif-inisiatif ini menggalakkan pendekatan kemampanan yang menyeluruh daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.