Penduduk Di Kawasan ‘Hot Spot’ Tanah Runtuh Perlu Sentiasa Waspada – Takiyuddin

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Penduduk di kawasan cerun kritikal tahap tinggi diminta agar lebih berwaspada dengan kawasan sekitar dan mengambil tindakan segera jika wujud tanda-tanda awal berlakunya tanah runtuh, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Kawasan ‘hot spots’ yang telah dikenal pasti ialah Bukit Antarabangsa dan Sungai Penchala di Selangor; Cameron Highlands, Pahang; Genting Peres, Negeri Sembilan; Gunung Jerai, Kedah; Bukit Canada Miri, Kapit dan Santubong di Sarawak; Keningau, Kampung Kiau-Melangkap-Kundasang-Ranau, Sandakan, Sepanggar, dan Kota Kinabalu di Sabah serta 30 kawasan di Pulau Pinang, katanya.

“Orang awam diminta menghubungi segera talian Hotline Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri yang boleh didapati di portal rasmi JMG Malaysia (www.jmg.gov.my) untuk mendapatkan maklumat lanjut atau memaklumkan sebarang tanda atau kejadian tanah runtuh yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata pemantauan terhadap 220 cerun kritikal di seluruh negara oleh JMG telah mengenal pasti 122 lokasi cerun tanah yang diklasifikasikan sebagai lokasi utama yang berpotensi berlakunya bencana tanah runtuh.

Beliau berkata JMG telah memuat naik maklumat berkenaan lokasi hot spots tersebut dalam media sosial rasmi jabatan seperti Twitter dan Facebook.

“Maklumat ini turut dikongsikan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan juga ahli Jawatankuasa Pelan Induk Cerun Negara yang turut dianggotai oleh semua pihak berkuasa tempatan yang berkenaan dan agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Meterologi sebelum ini melaporkan Fasa Timur Laut telah bermula pada 3 Nov lepas dan dijangka berterusan sehingga Mac 2022 dengan beberapa siri hujan lebat secara menyeluruh akan berlaku di kebanyakan negeri dengan purata hujan di antara 50 milimeter (mm) hingga 850 mm.

Beliau berkata lebih 100 kejadian tanah runtuh telah direkodkan di Kuala Lumpur dan Selangor berpunca daripada curahan hujan berterusan yang berlaku pada 16 hingga 19 Dis lepas. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,613FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat