Oleh Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff.

Baru-baru ini tular mengenai satu video yang dihasilkan oleh portal berita Malaysiakini bertajuk “MB Only Waved From Car – Bentong Flood Victims Criticise State Government”.

Video tersebut memaparkan beberapa temubual antara pihak Malaysiakini dan empat orang penduduk setempat yang menyatakan kononnya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi hanya melambai dari dalam kereta semasa melawat kawasan banjir di sekitar Negeri Pahang.

Penulis mengikuti dengan dekat mengenai perkembangan situasi bencana banjir di Negeri Pahang melalui saluran berita dan juga media sosial.

Ternyata apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini adalah amat berat sebelah dan tidak benar.

Jika para pembaca sekalian mengikuti perkembangan banjir di Negeri Pahang, sudah tentu anda akan dapat melihat bahawa Menteri Besar Pahang dan seluruh jentera Kerajaan Negeri Pahang amat proaktif dalam memberikan bantuan dan mencari jalan penyelesaian bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Adalah tidak benar jika dikatakan Menteri Besar Pahang atau mana-mana pegawai kerajaan negeri sebegitu alpa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Datuk Seri Wan Rosdy telahpun melaksanakan pelan mitigasi banjir Pahang dengan efisyen dan komprehensif.

Beliau bukan sahaja menggerakkan inisiatif pemberian bantuan tetapi juga turut merangka pelan jangka masa panjang untuk memastikan risiko banjir di negeri itu dapat diminimakan pada masa hadapan.

Antaranya adalah dengan pelaksanaan tebatan banjir di Sungai Semantan, Mentakab yang telahpun berada di Fasa 1 pembinaannya.

Jadi mengapa perkara ini tidak dilaporkan oleh Malaysiakini, tetapi hanya cerita-cerita separuh masak yang dijadikan laporan utama media Pro-PH tersebut?

Sepatutnya, Malaysiakini mencari dimanakah Ahli Parlimen Bentong, YB Wong Tack jika rakyat di kawasan tersebut (Bentong) mengatakan mereka masih lagi belum menerima apa-apa bantuan.

Ketika menghadapi musibah seperti ini, rakyat Malaysia mengharapkan agar pihak media dapat melaporkan perkara sahih dan benar untuk tatapan kita semua.

Sejujurnya pada pandangan penulis, tindakan Malaysiakini dengan laporan provokatif dan berat sebelah ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan meracik etika kewartawanan.

Jika tidak mampu melaporkan perkara sebenar, lebih baik Malaysiakini tidak melaporkan apa-apa sahaja. Sibukkan sahaja dengan memuji-muji negeri yang diperintah oleh PH dan jangan ganggu Negeri Pahang Darul Makmur.

#########