Puad Zarkashi gesa MP BN tarik sokongan terhadap Muhyiddin

- Advertisement -

CYBERJAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa ahli parlimen partinya dan Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad berkata cadangan beliau itu susulan kegagalan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janji.

Ini terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik.

“Muhyiddin memang lega kerana Bajet 21 telah lulus. Tetapi rakyat belum lega.

“Janji mempermudahkan i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat bank-bank yang liat.

“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, rakyat masih terbelenggu dengan kriteria kategori kedua pengeluaran i-Sinar KWSP manakala pemberian moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga kecil.

Justeru, Mohd Puad berkata, BN perlu lebih tegas melalui Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) jika kerajaan PN masih berdolak dalik untuk menyelesaikan dua perkara utama yang dituntut BN pada Belanjawan 2021 itu.

“Datuk Seri Najib (Razak) Pengerusi BNBBC berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya.

“Najib jelaskan, Bajet terpaksa disokong kerana tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula. Jika bajet tidak lulus kerajaan sukar berfungsi untuk tempoh dua minggu lagi.

“Tetapi menurut Najib, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak,” katanya.

Belanjawan 2021 diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu menerusi undian belah bahagi.

Kerajaan hanya mendapat tiga majoriti dengan sokongan 111 undi berbanding 108 undi tidak menyokong, manakala satu undi tidak dikira kerana tidak hadir.

“Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan “keberanian politik”.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup.  Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” katanya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat