N. Sembilan FC dibarisi 85 peratus pemain baharu

- Advertisement -

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) di bawah kendalian ketua jurulatih baharu K. Devan, akan dibarisi 85 peratus pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga Premier musim hadapan.

Mengesahkan perkara berkenaan kepada Bernama, beliau berkata kebanyakan mereka merupakan pemain kelahiran Negeri Sembilan yang berpengalaman, dan bermain dengan beberapa pasukan lain di Liga Super serta Liga Premier, pada musim ini.

“Buat masa ini, kita sudah ada 16 hingga 17 pemain tempatan dan pemain import pula kita ambil empat pemain dan seorang pemain import sudah kita sahkan dan tiga lagi pemain sedang dikenal pasti.

“Dengan perubahan besar yang saya lakukan pada tahun ini, mengambil pemain berkualiti, saya yakin dengan pasukan yang akan kita bentuk. Tidak mustahil kita mampu capai lima teratas dalam Liga Premier, tetapi saya nak pastikan kita layak ke Liga Super 2022 dan kita perlu berada di tangga dua pasukan terbaik liga dan itu sasaran kita,” katanya hari ini.

Jurulatih kelahiran Bahau, Jempol itu berkata bagi memantapkan pasukan NSFC dalam menghadapi saingan liga, beliau mendapatkan khidmat pemain tengah berusia 27 tahun dari Korea Selatan Bae Beom Geun, yang kini beraksi bersama sebuah pasukan di Slovakia.

“Memang kita kenal pemain ini dan dia pernah di bawah bimbingan saya semasa di MIFA dan Petaling Jaya City FC (PJ City FC), dan dengan peruntukan yang ada, kita telah bawa pemain yang memadai dengan belanjawan dan juga kualiti yang kita perlukan.

“Tiga lagi pemain import masih dalam proses pencarian. Mungkin kita akan cari pemain dari Afrika Selatan dan Amerika Latin, itu perancangan kita, tetapi kita belum lagi muktamadkan pencarian kita dan kalau tengok rekod lepas, pemain dari negara ini dapat beraksi cemerlang dalam Liga Malaysia,” katanya.

Mengulas desas desus mengenai penyerang pasukan Kedah Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak akan kembali menyarung jersi skuad ‘Hobin Jang Hobin’, Devan berkata pemain kebangsaan itu telah menyatakan minat untuk bersama Negeri Sembilan.

NSFC sebelum ini telah mengikat beberapa pemain baharu, antaranya pemain pertahanan dari Selangor 2 Raja Imran Shah Raja Amin, tiga bekas pemain PJ City FC iaitu adik beradik R. Barathkumar (penyerang) dan R. Aroon (pertahanan) serta Damien Lim (penjaga gol).

Turut di sambar NSFC ialah tiga bekas Melaka United FC Saiful Ridzuwan Selamat (pemain tengah), Annas Rahmat (pertahanan) dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (penyerang).

Selain itu, tiga bekas pemain Felda United FC iaitu Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir dan Osman Yusoff yang kedua-dua mereka pemain pertahanan serta Mohd Muhaimin Mohamad (penjaga gol), selain pemain pertahanan Terengganu FC Nasrullah Haniff Johan antara yang turut bersama NSFC, pada musim hadapan.

Mengenai sasaran NSFC selain layak ke Liga Super, Devan berkata ia amat bergantung kepada prestasi pasukan ketika itu.

“Sekiranya kita dapat saingi pasukan-pasukan di Liga Super, saya rasa kita dapat bermain dalam Piala Malaysia dan Piala FA, dan kita juga kena tengok undian pasukan dalam Piala FA. Kalau kita dapat undian dengan pasukan yang boleh kita atasi, kita akan cuba, kita tak letak sasaran hanya pada Liga Premier sahaja,” katanya.

Buat penyokong pasukan NSFC, Devan menjanjikan perubahan besar prestasi dan corak bermain pasukan, selain yakin dapat mencapai sasaran layak ke Liga Super, yang merupakan sasaran utama.

“Misi saya adalah untuk membawa pasukan NSFC ke kancah Liga Super, sekali gus boleh memberi kepuasan kepada peminat bola sepak Negeri Sembilan, dan untuk jangka masa yang panjang adalah untuk saya membentuk sebuah pasukan mantap dengan perancangan yang rapi dan sistematik,” katanya yang akan dibantu penolong ketua jurulatih K. Rajan.

Devan kembali membimbing pasukan bola sepak Negeri Sembilan buat kali yang ketiga, selepas yang pertama pada musim 2003 hingga 2006, disusuli pada musim 2015.

Musim ini, Negeri Sembilan di bawah bimbingan ketua jurulatih Sazali Saidon menamatkan saingan Liga Premier pada kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan, selepas mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat