1,581 Kes Baru Covid-19, Jumlah Kumulatif Kini 100,318 Kes – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara kini mencecah 100,318 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes positif harian pula merekodkan sebanyak 1,581 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ialah 18,773.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh COVID-19 hari ini ialah 1,085 menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih sepenuhnya ialah 81,099 orang.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,579 kes.

“Selangor kekal mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes adalah daripada kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19 di sini hari ini.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula merekodkan sebanyak 379 kes manakala Sabah 249 kes diikuti 270 kes lagi di kluster-kluster membabitkan lokap dan penjara.

Bilangan itu membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tembok Gajah (74 kes), Kluster GK Tawau (enam), Kluster Tembok (empat) dan Kluster Bakti (satu).

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 102 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bersempena sambutan Hari Natal esok, beliau mengingatkan seluruh rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan dengan mengamalkan norma baharu.

Sejajar perkembangan teknologi telekomunikasi terkini, beliau menggalakkan penggunaan panggilan video sebagai gantian amalan kunjung-mengunjung bagi melindungi warga emas dan kumpulan rentan daripada dijangkiti COVID-19.

“Berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 dalam negara yang telah mencapai jumlah kumulatif sebanyak 100,318 kes, masyarakat dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan berhati-hati dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

“Semoga kelainan yang dialami pada sambutan perayaan kali ini menjadi sebuah memori untuk dikenang di masa hadapan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat