Setahun mentadbir, Anwar akui kelemahan dan kelompongan tatakelola paling ketara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kisah setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan memberi tumpuan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan ketara yang diwarisi, khususnya terkait pertumbuhan Malaysia yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam Sustainable Economic Development Assessment (SEDA).

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, kerajaan ini menghalakan usaha menstruktur semula ekonomi negara menerusi peluncuran kerangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Namun katanya, lebih ketara adalah kelemahan dan kelompongan tatakelola.

“Saya yakin dan percaya Malaysia punya potensi yang sangat besar untuk diangkat martabatnya jika isu tatakelola diperbetulkan dan rasuah dalam negara dihentikan.

“Usai setahun pemerintahan, dengan dasar yang jelas serta selesai mengatasi masalah-masalah asas rakyat, Kerajaan Perpaduan akan memulakan usaha dengan lebih tegas untuk membangunkan ekonomi negara dan lebih keras dalam mendepani pelbagai tantangan, salah guna kuasa dan rasuah.

“Saya mohon doa dan sokongan daripada rakyat dan rakan-rakan seperjuangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengecap pencapaian yang jauh lebih baik, Insya-Allah,” katanya.

Anwar juga memberitahu, malam tadi beliau berkesempatan hadir menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama ribuan jemaah di Putrajaya yang hadir dalam majlis kesyukuran sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Majlis kesyukuran ini diisi dengan solat hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Ketika menyampaikan amanat, saya menyingkap sejarah penubuhan Kerajaan Perpaduan bertitik tolak daripada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, yang bertitah memohon sebuah kerajaan yang meliputi kesemua parti politik dibentuk bagi merungkai kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Di sebalik tindakan pihak yang menolak titah Tuanku, kebuntuan itu terlerai selepas Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain sepakat mengenepikan permusuhan politik yang panjang demi menjunjung titah baginda.

“Meskipun dihantui pelbagai cubaan untuk meruntuhkan kesepaduan ini, semua parti terus tekal dengan kesepakatan ini. Alhamdulillah, hari ini kerajaan ini menerima sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen,” kongsi Anwar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat