KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli tidak memahami falsafah Ikatan Prihatin Rakyat(IPR) kerana IPR bukan “bumbung baharu”, tetapi asas baharu untuk rakyat kembali berteduh daripada politik usang dan kepalsuan janji Madani.
Presiden Parti Putra Malaysia Datuk Dr Ibrahim Ali membidas, sebelum menyindir orang lain, Rafizi sepatutnya melihat dahulu keadaan rumah Pakatan Harapan (PH). Dalam rumahnya sendiri pun penuh pergaduhan.
“Saya membaca ulasan Rafizi Ramli tentang penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sambil menggeleng kepala. Saya sangka beliau ini seorang intelektual, namun rupa-rupanya sekadar kaki sembang kari tanpa sijil halal daripada JAKIM. Rafizi kata, elok betulkan rumah lama dahulu sebelum menambah bumbung baharu. Saya nak tanya, apa masalah dengan rumah lama? Kalau mahu menambah struktur ke atas rumah baharu, apa salahnya jika mampu? Sama juga kalau mahu menambah isteri, asalkan tidak mati pucuk dan mampu berlaku adil.
“Masalahnya, rumah Rafizi sendiri yang didudukinya kini sudah bocor teruk dengan siling reput, lantai retak, paip berkarat dan tandas pecah sehingga mengeluarkan bau busuk. Namun, dia pula mahu menasihati orang lain tentang rumah. Gajah di depan mata tidak nampak walaupun sudah tercampak. Kalau itu bukan lawak abad ini, saya pun tidak tahu hendak panggil apa. Benarlah pepatah mengatakan, tin kosong bunyinya paling kuat apabila ditendang.
“Ada yang tukar bilik, ada yang bakar dapur, ada yang cabut paip gas. Madani sekarang bukan rumah perpaduan, tetapi rumah tumpangan politik. Kalau Rafizi jujur, dia akan mengakui bahawa rakyat sudah tidak percaya pada retorik “reformasi ekonomi” yang dijualnya. Dia sibuk mengira “data”, tetapi tidak tahu membaca hati rakyat. Dia pandai mengira “graf”, tetapi tidak tahu mengukur “maruah bangsa”, selar Ibrahim.
Kata beliau, selama dua tahun Madani berkuasa, rakyat semakin terhimpit, harga barang naik, gaji tidak cukup, dan hutang negara melambung.
“Jika itulah rumah lama yang Rafizi mahu betulkan, maka sampai kiamat pun tidak akan siap.
“IPR bukan projek politik peribadi, tetapi payung penyatuan agar suara pembangkang tidak terpisah dan rakyat mempunyai harapan baharu yang bebas daripada percaturan gila kuasa.
“Rafizi ketawa kerana nama IPR sama dengan inisiatifnya dahulu. Biarkanlah. Jika dia rasa tercabar kerana nama itu lebih hidup di tangan orang lain, itu masalah ego, bukan masalah rakyat. Yang penting bukan singkatan, tetapi semangat di sebaliknya.
” Ketika Madani sibuk menjaja cerita “reformasi tanpa isi”, kami di IPR memilih untuk duduk semeja, membincangkan isu belanjawan, undang-undang, keselamatan sekolah, Palestin, dan masa depan negara. Bukan berteori dalam bilik berhawa dingin, tetapi mendengar suara rakyat di bawah kipas berhabuk warung kopi,” jelas Ibrahim.
Beliau menempelak, Rafizi boleh pandai bercakap, tetapi rakyat sudah tahu, orang yang banyak bercakap biasanya paling kurang bekerja.
“IPR bukan ditubuhkan untuk melawan sesiapa, tetapi untuk menyusun semula kekuatan rakyat yang muak dengan sandiwara kerajaan Madani luar tabii.
“Jika Rafizi masih mahu menyindir, kami ucap terima kasih, kerana setiap sindirannya hanya membuktikan bahawa dia sendiri takut akan kebangkitan baharu ini, iaitu kebangkitan yang jauh lebih hebat daripadanya yang hanya pandai bercakap kosong. Dia takut pada bayang kegagalannya sendiri, takut ada pihak yang lebih baik daripadanya. Namun dia sendiri kini sudah tidak laku dan sedang meroyan menjual diri untuk mencari pembeli.
“Dalam politik, jangan jadi tukang cat yang hanya tahu mewarnakan dinding. Belajarlah menjadi tukang bina yang sanggup turun menyelam dalam lumpur. Kerana apabila rakyat runtuh, cat tidak dapat melindungi sesiapa pun,” katanya.
Tegas Ibrahim lagi, IPR ialah binaan baharu untuk rakyat Malaysia dan jika itu menakutkan kerajaan Madani luar tabii, bermakna kita berada di landasan yang betul.
“Allah mahu umat-Nya terus berusaha untuk berbuat baik dan meninggalkan larangan yang tidak baik. Luar tabii ialah perbuatan tidak baik, dan sebagai umat Islam, kita tidak boleh menerima manusia luar tabii sebagai imam.
“Justeru, Rafizi lah yang sepatutnya keluar dari rumah lamanya dan mencari rumah atau madrasah baharu. IPR ialah rumah baharu yang sedang diusahakan, dan Allah akan menentukan kesempurnaannya.
“Insya-Allah ia akan siap dan boleh diduduki apabila tukang rumah benar-benar mahir, pandai, ikhlas, jujur, bersih dan berintegriti. Insya-Allah,” ujarnya.
Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini mengkritik Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengguna pakai “IPR” yang telah diguna untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Rafizi menempelak Muhyiddin kerana tidak melakukan semakan terlebih dahulu sebelum melancarkan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Macam-macam versi IPR sekarang. Tak gimik lah macam ni, tapi pening juga tengok gabungan dalam gabungan.
“Tan Sri Muhyiddin lancar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sama pula singkatan dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dulu mereka perli. Macam tak semak dulu, Google pun tak buka.
“Sekarang siap ada gabungan atas gabungan. Entah siapa ketuai siapa pun dah susah nak bezakan,” selar ahli Parlimen Pandan itu.
Timbalan Presiden PKR itu menasihatkan Muhyiddin agar memperbaiki gabungan sedia ada.
“Baik betulkan rumah lama dulu sebelum nak tambah bumbung baru,” katanya.



