TH teruskan bantuan kewangan haji secara bersasar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar untuk musim haji 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata TH juga meneruskan inisiatif bantuan kewangan bersasar itu dari tahun ke tahun, khusus kepada golongan paling memerlukan selaras hasrat kerajaan menstruktur semula subsidi secara bersasar.

“Memahami persekitaran semakin mencabar, termasuk suasana inflasi seluruh dunia, TH akan meneruskan bantuan kewangan haji kepada jemaah yang benar-benar memerlukan bagi menunaikan rukun Islam kelima.

“TH juga sudah dan sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media, media sosial dan sesi libat urus mengenai kepentingan konsep kemampuan atau istito’ah,” katanya menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, pada musim haji tahun lalu seramai 67 jemaah B40 dan M40 menolak bantuan kewangan haji yang layak diperoleh mereka, sebaliknya membayar kos penuh haji kerana berpegang kepada syarat istitho’ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

“Seramai 396 jemaah B40 dan M40 pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000, berbanding bayaran haji minima yang dikenakan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Jamaludin, Mohd Na’im berkata, peningkatan kos haji masa kini terdedah kepada faktor di luar kawalan TH, termasuk kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi serta kadar tukaran mata wang ringgit berbanding Saudi Riyal dan dolar Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, katanya, projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah menyebabkan banyak penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“TH sudah berusaha mengawal peningkatan ini dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

“Menerusi langkah ini, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun. TH sudah memberikan bantuan kewangan haji kepada jemaah negara sejak 2011 dan sudah menambah baik mekanisma bantuan ini secara bersasar bermula 2022,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara), beliau berkata, kadar bantuan kewangan haji yang ditetapkan kepada jemaah haji adalah berdasarkan kategori pendapatan individu dan bukan berdasarkan pendapatan isi rumah.

Katanya, dasar klasifikasi pendapatan jemaah haji yang terpilih mengikut kategori B40, M40 dan T20 adalah berasaskan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal haji dengan maklumat data penerima bantuan kerajaan yang ada seperti pada 2022 dan tahun lalu.

“TH juga mengambil maklum usaha kerajaan membina pangkalan data utama iaitu PADU yang akan menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan secara adil dan bersasar.

“Untuk itu, sekiranya diberikan ruang dan peluang, TH akan mempertimbangkan cara baru untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal haji bagi tujuan pemberian bantuan kewangan haji bersasar yang selari dengan hasrat kerajaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat