KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus merupakan langkah yang kurang tepat berbanding dengan sistem percukaian lain yang lebih efisien, cadang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, meskipun kenaikan ini tidak melibatkan makanan dan minuman, harus difahami bahawa kenaikan ini akan memberi kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan kepada barang-barang asas.
“Ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka.
“Justeru, saya sekali lagi berpendirian bahawa sudah tiba masanya untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada tahun 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” saran beliau.
Jelas beliau, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.
“Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana
kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.
“Kenaikan cukai SST sebanyak 2 peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara.
“Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta.
“Adakah ini berbaloi dengan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat? soal beliau.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan ekonomi global berkembang perlahan sekitar tiga peratus tahun ini dan akan kekal pada paras itu pada 2024.
“Ini kerana pertumbuhan lemah dalam kalangan negara ekonomi maju dunia seperti China dan Amerika Syarikat.
“Kita harus bersedia untuk menghadapi keadaan ini supaya rakyat tidak terkesan dan kita mampu menyediakan ekosistem yang kondusif untuk ekonomi terus berkembang,” katanya.
Selain itu, syor beliau ialah, dalam memastikan rakyat mendapat manfaat secara berterusan, kerajaan perlu mengambil langkah untuk menambah hasil negara.
Justeru katanya, sistem percukaian negara perlu ditambah baik bagi memastikan hasil diperoleh semaksimum mungkin untuk
memangkin pembangunan negara.
“Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia menyatakan Malaysia mencatatkan pendapatan cukai yang rendah iaitu sebanyak 12 peratus daripada KDNK.
“Peratusan itu jauh lebih rendah berbanding purata yang dicatatkan negara berpendapatan sederhana atas lain, iaitu
sebanyak 18 peratus daripada KDNK, dan berbanding negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD),” katanya.