KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa bertindak segera memulihkan krisis keyakinan pelabur yang amat serius ini supaya mata wang Ringgit dapat distabilkan.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap kerajaan bertindak segera bagi memulihkan kembali keadaan untuk memastikan ekonomi negara bergerak pada landasan yang tepat.
“Saya mahu membuka perbahasan Belanjawan 2024 dengan menyentuh situasi dan perkembangan terkini ekonomi negara.
“Selepas negara dihambat pandemik Covid-19, ekonomi negara merekodkan prestasi yang positif, terutama pada tahun 2022 di bawah Kerajaan Keluarga Malaysia sehingga mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tertinggi di rantau ini.
“Bagaimanapun, keadaan pada hari ini sangat membimbangkan. Kadar mata wang Ringgit Malaysia terus merudum sehingga mencatatkan prestasi terburuk dalam tempoh 25 tahun,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024, pada Selasa.
Jelas Ismail Sabri, Indeks Bursa Malaysia kekal berada sekitar 1,400 mata.
“Kedua-dua petunjuk ini memberikan gambaran bahawa Malaysia berhadapan dengan krisis keyakinan pelabur yang amat serius.
“Saya berharap Kerajaan bertindak segera bagi memulihkan kembali keadaan untuk memastikan ekonomi negara bergerak pada landasan yang tepat,” ujarnya.
Perkembangan lain, Ahli Parlimen Bera itu mempersoalkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel bersasar.
“Kalau subsidi tidak diberikan, kos pengangkutan sudah pasti tidak akan ditanggung oleh syarikat, dan pasti beban akan
diserah kepada pengguna.
“Saya berharap perkara ini diteliti oleh kerajaan,” saran beliau.
Tambah Ismail Sabri lagi, semua sedar manipulasi barangan keperluan dilakukan oleh golongan tertentu atau kartel.
“Ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, kita telah mengesan lima syarikat yang dikatakan menjadi kartel menentukan harga makanan ayam.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjalankan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada keputusannya.
Kenapa mengambil masa yang terlalu lama dan apa keputusannya? soalnya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu juga terkejut beras tiada di pasaran.
“Sepatutnya isu kekurangan bekalan beras ini tidak berlaku.Saya pernah menerajui Kementerian Pertanian dan Asas
Tani, kita mempunyai stok penimbal untuk enam bulan ke hadapan.
“Namun, situasi terkini seolah-olah menunjukkan kita tidak mempunyai stok penimbal yang mencukupi. Saya tidak tahu
adakah stok penimbal ada atau tidak ada? katanya.