KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 22 September 2026 bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan remaja lelaki yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Jabatan Peguam Negara merujuk kepada keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 September 2026 yang telah melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] di akhir kes pembelaan, setelah Mahkamah mendapati bahawa remaja tersebut berada dalam keadaan tidak waras pada masa kesalahan itu dilakukan.
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan di Mahkamah Rayuan Malaysia pada 22 September 2026 bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut,” kata AGC dalam kenyataan media pada Khamis.
Terdahulu, remaja lelaki yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya mengalami skizofrenia yang bermula pada usia amat muda, iaitu sebelum berumur 13 tahun dan keadaan itu telah berlarutan selama lima tahun, menurut Mahkamah Tinggi.
Dalam alasan penghakiman yang dikeluarkan hari ini susulan pembebasan remaja itu pada 14 Sept lepas, Hakim Adlin Abdul Majid berkata keadaan penyakit mental tersebut yang berterusan tanpa rawatan sepanjang tempoh lima tahun menjadi faktor penting yang mempengaruhi tindakannya pada masa kejadian.
Selain itu, mahkamah mendapati remaja berkenaan ketika itu berada dalam dunia fiksyen dan menganggap perbuatan membunuh mangsa sebagai satu pergerakan dalam permainan yang dipercayai akan memindahkan ciri-ciri mangsa kepada dirinya.
Adlin juga berkata remaja itu tidak percaya bahawa perbuatannya membunuh mangsa akan menyebabkan kematian dan ketika kejadian, dia berada dalam keadaan terpisah daripada realiti, iaitu apabila tindakannya tidak lagi dikawal oleh minda.


