KLUANG – Pas ditempelak kerana terus menggunakan gimik-gimik murahan kononnya mencabar Perdana Menteri meletak jawatan namun tidak serius dengan cabaran yang dikemuka.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Pas dilihat menjadikan pentas muktamar sebagai medan untuk ‘main-main’ bukannya serius membicarakan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.
“Nampaknya makna muktamar Pas itu main-mainlah kan? Kalau itu (muktamar) ialah platform tertinggi parti Pas untuk membicarakan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat, isu-isu negara. Kalau apa yang dibangkitkan di situ bukan untuk bergurau senda.
“Tetapi kalau dia cakap isunya contohnya nak suruh Perdana Menteri letak jawatan, nak suruh itu, ini dan sebagainya. Sewajarnya itu ialah satu gesaan yang serius.
“Pas semakin terdesak apabila ada peralihan sokongan komuniti Melayu dan sebab cabaran dia ialah apabila (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dapat menjuarai. Contohnya, ke depan dalam isu Palestin dan mendapat penghormatan daripada banyak negara-negara Islam di peringkat alim ulama tempatan dan antarabangsa,” bidas Nik Nazmi ketika ditemui pemberita sewaktu program ziarah kasih di Taman Ilham pada Selasa.
Naib Presiden PKR itu malah menyelar tindakan PAS ketika di pentas muktamar yang dilihat tidak menyentuh soal periuk nasi rakyat sebaliknya lebih menjurus ke arah membakar sentimen kaum dan agama.
“Jadi mereka tidak menyentuh sangat tentang soal periuk nasi rakyat. Tentang soal keutamaan rakyat tetapi mereka akan terus menggunakan gimik-gimik murahan seperti ini membakar sentimen kaum dan agama.
“Pas juga tidak menunjukkan kematangan sebagai sebuah parti yang berminat untuk mentadbir negara,” ujar Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu lagi.
Nik Nazmi berkata demikian ketika ditanya berkait kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak “melenting” apabila berdepan dengan gesaan letak jawatan.
Tuan Ibrahim juga mengingatkan Pengerusi PH itu tentang ketika beliau menyertai protes bagi mendesak perdana menteri sebelum ini untuk letak jawatan.
“Pemimpin ni kena pressure ni biasa dan dia tak boleh cepat melenting. Dia kena cool… Awak PM, bukan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung).
“Bila perdana menteri dia kena cool. Tekanan, desakan suruh letak jawatan ni biasalah,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.
“Dia pun dulu suruh undur, setiap kali demonstrasi undur, undur, undur. Dahlah undur, suruh letak jawatan. Itu biasa. Seorang pemimpin politik yang senior. Jangan terlalu emosional,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim mengulas cabaran Anwar kepada pembangkang untuk membawa usul tidak percaya ke atasnya pada sidang Parlimen akan datang.