KLUANG -“Kalau ketagih sangat bubar Dewan Rakyat untuk uji kekuatan, lebih baik bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan,” saran Datuk Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata demikian memandangkan, Perikatan Nasional (PN) baru sahaja kalah teruk di Nenggiri.
“Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris tidak perlu cabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bubar Parlimen. Ia buang masa, membazir dan menyusahkan rakyat.
“Razali terlalu naif. Pilihan raya baru berlalu. Rakyat sudah buat pilihan. Anwar cabar PN bawa usul undi tidak percaya di Parlimen kerana PN masih bermain isu mereka cukup bilangan kerusi.
“PN hanya ada satu pilihan. Iaitu guna kaedah tebuk atap, kita cabar PN untuk pujuk mana mana parti dalam kerajaan perpaduan “pull the plug” kalau benar kerajaan hari ini pecah,” bidas Speaker DUN Johor itu lagi.
Terdahulu, seorang pemimpin Bersatu mencabar Perdana Menteri Anwar membubarkan Parlimen segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa pilihan raya kilat disifatkan jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini, bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat seperti gesaan Anwar kepada pembangkang, Jumaat lalu.