KLUANG – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Ghani tidak setuju dengan ramalan Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching yang menganggap peluang calon Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota masih di tahap 50-50.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu sebaliknya menegaskan, selagi belum keputusan, tidak ada sesiapa boleh meramalkan.
“Selagi belum keputusan (pengundian). Tak orang boleh predict (ramal),” ujar Johari.
Reaksi Ahli Parlimen Titiwangsa itu merujuk kenyataan Nie Ching yang memaklumkan BN diyakini mampu mempertahankan kerusi PRK DUN Mahkota.
Bagaimanapun Timbalan Menteri Komunikasi itu memberitahu peluang BN untuk menang kerusi Mahkota masih 50-50 ketika ini.
Justeru Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyeru semua pengundi keluar mengundi dan membuat pilihan yang bijak, beliau juga memberitahu DAP selaku rakan dalam Kerajaan Perpaduan akan berusaha sehabis daya untuk berkempen di Mahkota.
Mengulas lanjut Johari menitipkan pesan kepada calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dan jentera BN khususnya untuk bergerak seiring dengan dinamik politik.
“Kita kena ubah cara fikiran kita, tak boleh dah anggap mana-mana kerusi DUN atau Parlimen guarantee (dijamin) menang, sebab kalau kita tengok dalam pilihan raya ada kerusi guarantee menang 100 peratus akhirnya kalah, tapi ada yang kita jangka hanya 50-50 tapi raih keputusan cemerlang. Bahkan ada kawasan yang tak ada harapan boleh menang tapi menang.
“Ini adalah kerana dinamik politik yang berubah. Macam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, kita tak berapa yakin nak menang pun (50-50) tapi akhirnya undi, Johor dapat dua pertiga, jentera kita tak sangka langsung waktu itu, buatkan satu Malaysia excited (teruja) malahkan jadikan Johor sebagai benchmark untuk kita hadapi PRU-15, 8 bulan selepas itu.
“Justeru, pastikan pengundi putih kita keluar mengundi,” katanya ketika berucap dalam sesi bersama jentera dan masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Lian Seng, malam tadi.
Johari juga berkongsi formula untuk menang sekali gus mendapatkan kepercayaan rakyat adalah bergantung kepada tiga faktor utama iaitu calon, parti dan jentera.