Lapan Hari Berturut-Turut Kes Sembuh Melebihi Kes Baharu Covid – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jumlah kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus mengatasi angka kes baharu untuk lapan hari berturut-turut apabila sejumlah 16,751 kes pulih dilaporkan setakat 12 tengah hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif individu pulih daripada wabak itu kini 1,950,467 kes.

Bagi kes baharu pula, sejumlah 14,554 kes dilaporkan hari ini dan daripada jumlah itu 163 kes atau 1.1 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 14,391 kes atau 98.9 peratus adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata terdapat 1,049 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi kes yang disahkan positif COVID-19, disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 599 kes juga memerlukan bantuan pernafasan melibatkan kes disahkan COVID-19, disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata sembilan daripada jumlah kes baharu adalah kes import melibatkan lima warganegara dan empat rakyat asing manakala 14,545 kes membabitkan penularan dalam negara iaitu membabitkan 13,262 warganegara dan 1,283 rakyat asing.

Khairy berkata sebanyak 20 kluster juga dikesan dalam tempoh sama melibatkan 10 kluster di tempat kerja, sembilan kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Mengenai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (Rt), Khairy berkata Rt di Malaysia semalam adalah 0.90 dengan 13 negeri mencatat Rt di bawah 1.0 kecuali Pahang, Perak dan Perlis.

Pahang dan Perak merupakan negeri paling tinggi nilai Rt iaitu masing-masing 1.05, diikuti Perlis 1.01. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat