Oleh Zihan Zari
PASIR MAS – Tentera Darat Malaysia (TDM), berjaya menggagalkan cubaan empat individu yang cuba menyeludup ganja seberat 207 kilogram (kg) di tebing Sungai Golok berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand dekat sini, pada Khamis lalu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) memaklumkan, TDM berjaya mengekang aktiviti Jenayah Rentas Sempadan (JRS) daripada berlaku di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Menurutnya, pada jam 12.45 tengah hari, pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan tugas rondaan telah melihat empat orang lelaki dewasa mencurigakan sedang memindahkan barang daripada sebuah bot ke tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.
Menurutnya lagi, apabila dihampiri kesemua mereka melarikan diri ke tebing di sebelah Thailand lantas meninggalkan barangan tersebut dan apabila diperiksa, didapati barangan tersebut adalah empat buah kotak yang berisi ganja mampat keseluruhannya seberat 207 kg.
Katanya, kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM 641,700.00 telah diserahkan ke Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan selanjutnya.
“Pasukan TDM akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti JRS.
“TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara sentiasa terkawal dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan, ”kata kenyataan itu lagi. – SUARA.TV



