Ahmad Zahid turun jumpa 191 bahagian UMNO mulai esok

- Advertisement -

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan beliau akan turun di 191 bahagian parti itu di seluruh negara untuk berjumpa dengan jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua cawangan di seluruh peringkat berkenaan mulai esok.

Memetik laporan Sinar, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bergerak ke Johor dahulu pada Jumaat sebelum pergi ke cawangan-cawangan negeri lain bagi memberi sokongan di peringkat akar umbi.

“Yang penting mulai esok di Johor, saya akan turun di 191 bahagian seluruh negara. Saya akan berjumpa dengan jawatankuasa empat peringkat dan ketua-ketua cawangan di seluruh bahagian itu juga.

“Saya perlu turun, saya perlu membumi dan perlu berakar umbi.

“Kita berazam memenangkan calon kita di Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai, insya-Allah. Yang paling penting adalah calon Barisan Nasional (BN) di Pelangai,” katanya, ketika berucap di Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden – Mempertahankan Institusi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menegaskan bahawa parti UMNO tidak akan lagi menoleh ke belakang melihat prestasi yang lalu sebaliknya akan mara ke hadapan untuk perjuangan seterusnya.

Menurutnya lagi, prestasi itu berdasarkan dapatan yang telah dibuat melalui mesyuarat biro politik setelah terima laporan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

“Saya berhajat untuk bertemu bukan sahaja kepimpinan bahagian empat peringkat tetapi ketua cawangan, ketua Wanita dan Pemuda cawangan.

“Ertinya, saya mahu menemui semua kepimpinan di semua peringkat dan saya harap ini adalah pusingan pertama, kita ada masa.

“Pada pendapat saya, untuk pusingan kedua kita boleh bertemu dengan ahli-ahli di peringkat cawangan-cawangan,” ujarnya.

Untuk rekod pada Isnin lalu, UMNO dilaporkan sudah membuat dapatan mengenai kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dapatan itu telah dibuat di peringkat negeri dan sayap parti dan sedang dikumpulkan untuk dibentangkan di peringkat parti.

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat