KUALA LUMPUR: Sedar lambakan konsert artis tempatan sejak akhir-akhir ini, vokalis Azlan & The Typewriter, Azlan yang bakal berganding dengan kumpulan Akim & The Majistret dalam persembahan sama, menyerahkan kepada peminat untuk membuat pilihan.
Azlan atau nama penuh, Nor Azlan Rosle mengakui lambakan konsert mengelirukan peminat untuk membuat pilihan mengikut kecenderungan masing-masing.
“Kita lihat sekarang berpusu-pusu konsert dianjurkan. Sudah macam tengok wayang, saban hari, ada sahaja filem baharu ditayangkan.
“Penonton dan peminat sekarang ada pilihan untuk berhibur. Namun, lambakan konsert ini mengelirukan peminat.
“Tetapi pada akhirnya, terpulang kepada mereka. Setiap penyanyi yang mementaskan konsert ada kelompok peminat sendiri,” katanya pada sidang media mengumumkan Konsert Nyawa menggandingkan Azlan & The Typewriter dengan Akim & The Majistret di ibu negara, baru-baru ini.
Konsert Nyawa akan dipentaskan di Zepp Kuala Lumpur pada 16 September depan.
Azlan berkata, keputusan mementaskan Konsert Nyawa dibuat kira-kira dua bulan lalu.
“Penganjur iaitu Khatulistiwa Productions mencetuskan idea menggabungkan kami. Ini kali pertama kami digandingkan di pentas,” katanya.
Azlan berkata, setiap kumpulan bakal mendendangkan lagu hit masing-masing, selain lagu saduran popular seperti daripada kumpulan Pearl Jam dan Nirvana.
“Tidak ketinggalan lagu patriotik kerana konsert diadakan pada Hari Malaysia,” katanya.

Azlan menambah dia dan kumpulannya akan berlatih berhabis-habisan pada tempoh 10 hari sebelum konsert berlangsung.
“Takut juga hendak berlatih ‘all out’… Risau tona suara letih. Pada masa sama, saya perlu juga soal pemakanan dan stamina.
“Saya makin meningkat usia, uban pun sudah keluar. Kadar metabolisme tubuh tidak seperti dahulu. Tetapi, insya-Allah, saya tawakal. Semuanya berlaku dengan izin dan kuasa Allah.
Mengenai vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad, Azlan menganggap dia ada kekuatan sendiri.
“Saya lihat gandingan kami sangat baik. Akim umpama junior saya. Dia tebal dengan sikap merendah diri dan hormat orang lain.
“Kami sudah biasa bekerjasama. Tiada istilah siapa hendak bayangi siapa kerana masing-masing ada peminat sendiri,” katanya sambil memberitahu mereka merancang merakamkan single berjudul Nyawa, namun belum ada kata putus.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khatulistiwa Productions, Carl Selvarajah, berkata jenama konsert Nyawa bakal diteruskan pada masa hadapan.
“Ini konsert pertama saya anjur di bawah syarikat. Selepas ini, akan ada lagi Konsert Nyawa membabitkan artis lain pula.
“Istilah nyawa dalam bahasa Inggeris adalah ‘life’. Ini merujuk kepada acara langsung iaitu ‘live’ yang sering digunakan untuk konsert.
“Apa yang istimewa, konsert ini bersifat amal. Bagi setiap tiket dijual, RM1 akan diagihkan kepada badan amal atau kebajikan terpilih,” katanya.
Tiket menonton Konsert Nyawa Akim & The Majistret And Azlan & The Typewriter berharga antara RM150 hingga RM280 boleh dibeli dengan melayari www.ticket2u.com/nyawa.