Siasat penerbit tak capai piawai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) mencadangkan penambahbaikn dalam industri kreatif, termasuk tindakan tegas seperti siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 kepada penggiat seni yang menghasilkan karya tidak mencapai piawai atau substandard.

Badan antirasuah negara itu menjelaskan, setiap karya kreatif yang dianugerahkan dana atau geran kreatif perlu memenuhi standard dikehendaki, mencapai objektif dan dasar yang direncana.

Langkah itu bukan sahaja boleh mengurangkan potensi dan risiko rasuah, malah merancakkan lagi industri kreatif negara dan memastikan pihak yang benar-benar layak sahaja menerima dana atau geran kreatif kerajaan.

Melalui kajian, GIACC mendapati ada keperluan pemantauan rapi dibuat dalam isu agihan dana dan slot tayangan melalui penayang oleh badan badan penyiaran negara.

Perkara dirumuskan melalui kajian GIACC bersama profesor di Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU) dan Pengurus Besar Pusat Pembelajaran Telekom Malaysia, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Rafi serta pensyarah kanan di Jabatan Perakaunan, Fakulti Pengurusan MMU, Dr Abdullah Sallehhuddin.

GIACC menyebut, aduan seperti syarikat produksi sama atau firma penerbitan kandungan kreatif tertentu yang didakwa terus menerima geran atau mendapat slot siaran, harus perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, beberapa syarikat produksi yang mendapat dana berkenaan gagal mengeluarkan kandungan kreatif seperti dijanjikan atau menerbitkan kandungan kreatif tidak berkualiti.

“Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan dalam industri kreatif negara, termasuk kepada mereka yang terbabit dalam kelakuan rasuah.

“Adalah penting untuk aktivis dan profesional industri kreatif berperanan aktif dan mempunyai keberanian moral untuk tampil dengan bukti atau keterangan yang jelas untuk menghukum pelaku rasuah.

“Selain itu, pihak berkepentingan dalam industri kreatif perlu mengambil pendirian tegas terhadap penggiat serta profesional yang gagal memenuhi standard dikehendaki, serta tidak mencapai objektif program atau dasar yang direncanakan.

“Mesej mudahnya, adalah untuk tidak bertoleransi dengan hasil kandungan kreatif yang substandard,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, GIACC menyatakan, ada aktivis dan profesional industri kreatif tempatan mendakwa wujud birokrasi bagi mendapatkan kelulusan sebelum memulakan kerja produksi, penerbitan, pengedaran serta penyiaran hasil kreatif.

“Halangan sedemikian menyebabkan peningkatan kos produksi dan pengurusan yang tidak perlu, sekali gus membebankan penerbit tempatan.

“Keadaan itu dibebankan lagi dengan sikap segelintir entiti penyiaran yang mengamalkan layanan memihak kepada personaliti atau selebriti tertentu (lebih dikenali sebagai ‘instafamous’) berdasarkan populariti semata-mata, termasuk jumlah pengikut dalam media sosial atas nama tekanan perniagaan dan komersial,” katanya.

Dalam perkembangan sama, GIACC turut mencadangkan agar kelayakan berdasarkan mata dan jam latihan etika minimum sebelum dana atau geran kreatif diberikan.

Malah, modul literasi undang-undang yang berkaitan dengan antirasuah seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta SPRM 2009 juga harus diperluaskan dalam kalangan penggiat dan profesional industri kreatif sebagai sebahagian daripada syarat pembaharuan atau pemberian lesen.

“Satu siri latihan etika yang berstruktur dan sistematik dilakukan untuk memastikan penggiat dan profesional industri kreatif tempatan sejajar dengan pihak berkepentingan yang lain dalam mendepani risiko rasuah.

“Keperluan kelayakan seperti mata atau jam latihan etika minimum diangkat untuk dipertimbangkan oleh pihak berkepentingan sebelum sebarang kelulusan dana, geran dan slot tayangan diberikan,” katanya.

GIACC berkata, amalan yang berkaitan dengan pemberian hadiah dan hospitaliti serta pendedahan konflik kepentingan wajar ditekankan dalam modul latihan etika baharu untuk pengamal profesional dan pemimpin industri kreatif.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat