‘Saya akan cari dan saman!’ – Sheila Rusly

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon, Sheila Rusly bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger dan netizen yang menabur fitnah kepada keluarga, anak dan menantunya.

Ini berikutan tindakan portal dan blog yang memuat naik kenyataan kononnya Sheila pernah ‘mencadangkan’ nama pelakon, Janna Nick sebagai calon isteri untuk anaknya, Uzair Haqimy tetapi ditolak Janna sebelum Uzair memilih Elisya.

Uzair dan Elisya melangsungkan pernikahan, Sabtu lalu.

Sheila ketika dihubungi berkata, keputusan itu dibuat kerana fitnah itu membabitkan maruah banyak pihak.

“Anak saya baru tiga hari bernikah, tapi sudah ada cerita-cerita fitnah sebegini. Saya kena ambil tindakan undang-undang kerana ia membabitkan maruah keluarga saya, anak, menantu dan keluarga besan saya.

“Mereka (blogger) menggembar-gemburkan seolah-olah menantu saya adalah pilihan kedua,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia mendapat tahu mengenai penyebaran berita itu melalui beberapa pengikutnya di Instagram.

“Ada beberapa pengikut saya yang kongsikan mengenai kewujudan fitnah ini. Mereka merasakan bahawa fitnah ini tidak patut ada di media sosial.

“Kemudian, ada beberapa rakan seperjuangan yang aktif di blog turut berkongsi maklumat sama. Saya akan cari semua blogger itu dan saman,” katanya.

Setakat ini, Sheila sudah dimaklumkan bahawa blogger tidak bertanggungjawab itu sudah memadam keterangan (caption) asal.

“Saya dimaklumkan, dia sudah memadam ‘caption’ itu. Tapi, sehingga kini tidak ada sebarang permohonan maaf atau saya dihubungi oleh mana-mana blogger. Saya juga diberitahu bahawa ramai blogger yang sudah mengambil dan sebarkan berita itu. Jadi, saya akan selidik dan cari, berapa banyak portal blog yang melakukan perkara sama,” katanya.

Sheila berharap supaya tindakannya ini akan menjadi pengajaran buat setiap individu supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah.

“Saya harap mesej ini sampai kepada semua individu termasuklah blogger-blogger ini. Biar ini menjadi pengajaran dan iktibar buat mereka agar tidak sewenang-wenangnya mencanang mengenai kisah yang tidak benar.

“Jangan ingat sebab saya, anak dan menantu adalah selebriti, mereka boleh menggunakan platform kami untuk melariskan cerita mereka. Saya takkan biarkan mereka memijak kepala saya dan keluarga saya,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat