Sultan Sharafuddin Bimbang Peningkatan Kes Rasuah Di Selangor

- Advertisement -

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan penguatkuasaan kerajaan khususnya di Selangor.

Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan segelintir mereka yang terbabit dalam jenayah yang tidak bermoral ini sekali gus mencemarkan reputasi dan imej pihak kerajaan dan pihak berkuasa yang terbabit.

Menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, laporan media yang meluas mengenai kesalahan jenayah rasuah menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

“Seandainya gejala rasuah ini terus berlaku dengan berleluasa ia akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jabatan penguat kuasa ini di dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini.

“Justeru itu, baginda menyeru dan menasihatkan pegawai dan kakitangan penguat kuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan semua jabatan kerajaan lain yang dipertanggungjawabkan untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak membabit atau mendekatkan diri dengan segala perbuatan rasuah dan perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

“Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Perbuatan sebegini perlu dielakkan sama-sekali dari dilakukan,” kata kenyataan itu.

Sultan Selangor juga menegaskan agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang sudah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Gejala rasuah adalah perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

“Baginda juga menyeru supaya semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan yang mana mereka perlu bersikap adil kepada semua pihak ketika tindakan penguatkuasaan dilakukan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sikap berhemah dalam mengambil sesuatu tindakan perlu sentiasa diutamakan demi memelihara ketenteraman dan keamanan awam. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat