1MDB: PM Sambut Baik Penyelesaian RM16.6 Billion Dengan Goldman Sachs

- Advertisement -

CYBERJAYA – Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman penyelesaian berjumlah RM16.6 bilion yang dicapai antara kerajaan Malaysia dengan bank antarabangsa Goldman Sachs (GS) bagi tuntutan berhubung salah laku dan penyelewengan membabitkan 1MDB.

Muhyiddin berkata, dengan penyelesaian ini, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion), termasuk dana yang dipulangkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini.

“Kerajaan komited meneruskan usaha mendapatkan semula aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan pasukan perunding.

“Ia atas usaha mereka mencapai penyelesaian ini. Ini adalah satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan Goldman Sachs bersetuju membayar ASD3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan 3 urus niaga bon disusun dan diatur bank itu untuk 1MDB.

“Dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang diterima daripada Jabatan Kehakiman AS, lebih AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

“Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui 3 urus niaga bon tersebut,” kata Kementerian Kewangan.

Menurut Kementerian Kewangan, Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset lain yang kini berada di luar Malaysia.

“Jumlah penyelesaian ini merupakan peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran kerajaan pada tahun 2019,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat