Malaysia wajib beritahu BlackRock mereka bukan rakan kongsi yang dialu-alukan, konsisten sokong Palestin -PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan yang betul dan wajar dengan menolak penglibatan BlackRock dalam pemilikan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), sekali gus menjunjung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan tadbir urus beretika.

Berkait dengan gesaan sebahagian anggota Kabinet agar kerajaan-kerajaan negeri menutup operasi kilang-kilang yang mempunyai pelaburan dari BlackRock, ia hanyalah suara nakal hasil daripada kegagalan untuk memahami perbezaan pelaburan di dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham dengan penguasaan tinggi dalam aset-aset strategik negara, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

PAS berkata demikian merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ekonomi negara akan terjejas jika Malaysia bertindak memutuskan semua hubungan dengan syarikat milik Israel.

Ia berikutan kecaman pelbagai pihak ke atas langkah kerajaan membenarkan BlackRock memperoleh 25 peratus pegangan saham (melalui anak syarikat milik penuh GIP) dalam penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Untuk kekal konsisten dengan pendirian dan tindakan Perdana Menteri serta kerajaan Malaysia terhadap Palestin selama ini, adalah penting kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri tidak membenarkan entiti yang terlibat dalam kekejaman di Palestin bertapak di negara kita.

“Umum mengetahui bahawa BlackRock telah dikenal pasti terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di Gaza. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, dalam satu kenyataan bertarikh 20 Jun 2024, secara jelas menamakan BlackRock sebagai institusi kewangan yang melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel.

“Menurut kenyataan tersebut, kegagalan BlackRock untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar-pengeluar senjata tersebut bermakna BlackRock terbabit secara langsung dalam kesalahan pelanggaran hak asasi manusia di Gaza,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Menurut beliau, tersirat dalam kenyataan PBB ialah kewajipan bagi negara anggota untuk memberikan tekanan, dengan apa-apa cara yang ada, kepada pihak yang terlibat dalam atau membolehkan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, agar menghentikan tindakan mereka serta-merta.

“Oleh itu, Malaysia sebagai negara anggota PBB harus mengambil kira seruan itu.

“Malaysia wajib dengan segera memberitahu BlackRock bahawa ia bukan rakan kongsi yang dialu-alukan dalam pemilikan dan pengendalian lapangan terbang kita.

“Situasinya yang sedang berlaku di Palestin adalah sebenarnya agak mudah untuk difahami dan diketahui umum iaitu satu entiti Zionis sedang berkuasa di bumi Palestin.

“Entiti tersebut sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza atas dasar perkauman dan bermotifkan penjajahan. Untuk menghentikan kekejaman ini, semua pihak yang bencikan kezaliman yang sedang berlaku ini mesti bertindak secara kolektif untuk menyekat entiti Zionis ini dari terus melakukan jenayah kemanusiaan terhadap warga Palestin,” katanya.

Tegas Fadhli, salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan tidak mengadakan sebarang kerjasama atau melabur dalam entiti yang terlibat dalam jenayah Israel.

“Ini sepatutnya menjadi asas yang jelas kepada keputusan untuk tidak membenarkan BlackRock terlibat dalam MAHB, iaitu sebuah aset negara kita yang strategik.

“Sehubungan dengan itu, kami menggesa Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan untuk membuat keputusan yang betul dan wajar dengan menolak penglibatan Blackrock dalam pemilikan MAHB, sekali gus menjunjung komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan tadbir urus beretika.

“Berkait dengan gesaan sebahagian anggota Kabinet agar kerajaan-kerajaan negeri menutup operasi kilang-kilang yang mempunyai pelaburan dari BlackRock, ia hanyalah suara nakal hasil dari kegagalan untuk memahami perbezaan pelaburan di dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham dengan penguasaan tinggi dalam aset-aset strategik negara,” ujarnya.

author avatar
Jannah Jalidar
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat