Ini adalah transaksi yang mempunyai kesan keselamatan yang mendalam, lapangan terbang bukan restoran atau pasar raya – Chandra Muzaffar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tidak ada justifikasi untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik penuh BlackRock, firma pelabur gergasi Amerika Syarikat (AS) yang berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel.

Tokoh pemikir Dr Chandra Muzaffar turut serta mengulas kontroversi keputusan kerajaan membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock ke dalam konsortium menguruskan lapangan terbang, ketika Putrajaya melancarkan kempen media memburuk-burukan pengkritik yang semakin lantang menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan rancangan itu.

Chandra, antara pengasas utama PKR yang satu masa dulu menjadi jurucakap utama gerakan reformasi Anwar, mempersoalkan mengapa kita perlu bekerjasama dengan syarikat yang dimiliki sebuah entiti yang mempunyai hubungan rapat dengan ketenteraan Israel dan AS?

“Ini sesuatu yang membimbangkan kerana ia melibatkan lapangan terbang – bukan restoran atau pasar raya – yang akan diuruskan GIP yang dimiliki BlackRock,kata Chandra, yang mengetuai Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (Just).

Pandangan beliau dibuat ketika Putrajaya melancarkan kempen media dalam cubaan melawan balik pengkritik rancangan itu, yang akan menyaksikan GIP membeli 30 peratus kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan MAHB, bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kempen itu membawa naratif kewujudan BlackRock yang sekian lama di dalam pasaran modal Malaysia melalui kepentingannya dalam pelbagai syarikat, iaitu hujah sama dikemukakan Anwar ketika mempertahankan rancangan penjualan saham itu.

Ia menimbulkan reaksi bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil, yang menukilkan penjelasan kepada Anwar, yang juga menteri kewangan, mengenai perbezaan saham ditawarkan kepada GIP dan saham yang dibeli di pasaran terbuka.

“Pegangan-pegangan saham dan bon-bon oleh kepentingan Blackrock di syarikat-syarikat ini adalah kecil, iaitu dalam 1 peratus-3 peratus sahaja. Mereka tidak perlu minta izin atau runding dengan kita untuk beli saham-saham dan bon-bon di pasaran terbuka seperti ini dan tidak ada sesiapa boleh halang mereka,” kata Isham, yang pernah menganggotai Unit Perancangan Ekonomi di bawah pentadbiran Najib Razak.

Chandra berkata kebimbangan terhadap rancangan itu adalah wajar kerana BlackRock mempunyai pelaburan besar dalam firma yang rapat dengan industri senjata Israel.

“Ia memiliki 7.4 peratus kepentingan dalam Lockheed Martin, kontraktor pertahanan yang memainkan peranan penting dalam memperlengkapkan tentera Israel. Inilah sebabnya mengapa Lockheed dituduh bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai yang amat kejam di Gaza yang kini memasuki bulan kelapan,” katanya memetik laporan Malaysianow.

Beliau berkata walaupun kerajaan berhujah bahawa GIP tidak memegang majoriti saham konsortium itu, ia sudah pasti bakal memainkan peranan penting disebabkan pengkhususannya dalam pengurusan lapangan terbang.

“Adakah kerana kepakaran ini GIP dibawa sebagai rakan kongsi? Terdapat firma lain dengan kepakaran yang setanding yang boleh dipertimbangkan.”

“Ini adalah transaksi yang mempunyai kesan keselamatan yang mendalam.”

Beliau berkata hakikat bahawa MAHB merupakan sebuah syarikat yang menunjukkan keuntungan menjadikan rancangan melibatkan GIP “bertambah pelik”.

“Tidak ada alasan kewangan bagi penjualan saham MAHB dan ini diperkukuhkan lagi dengan prestasi pengurusan cemerlang MAHB,” katanya merujuk kepada keuntungan bersih MAHB sebanyak RM543.2 juta tahun lepas, melebihi keuntungan 2019 sebelum pandemik Covid-19 melumpuhkan sektor penerbangan.

Chandra turut menolak tanggapan bahawa rancangan membawa masuk entiti AS itu kemungkinan langkah Putrajaya mengimbangi hubungan rapatnya dengan China.

“Mengimbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa besar itu tidak bermakna bersedia mengorbankan prinsip. Jika Malaysia yang sering berpegang kepada soal etika dalam politik serantau dan antarabangsa, kini menyimpang daripadanya dan cuba mengambil hati mana-mana kuasa besar, ia akan memburukkan reputasi negara di samping memadamkan kredibiliti.”

Chandra memberi amaran kepada kerajaan Malaysia agar tidak dilihat bersekongkol dengan pihak yang kini “bersubahat dalam salah satu pembunuhan beramai-ramai paling tidak berperikemanusiaan dan paling kejam dalam sejarah”.

“Apabila dimensi moral sesuatu konflik amat jelas, kita wajib memastikan bahawa kita tidak dianggap sekumpulan yang cakap lain buat lain.

“Komitmen kita terhadap prinsip dan nilai etika dalam malapetaka seperti Gaza harus ditunjukkan melalui tindakan – tindakan yang kekal membuktikan kita tidak bertolak ansur dengan kejahatan.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat