Bantuan Semasa Pelan Pemulihan Negara Dalam Proses Perincian – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih sedang dalam proses perincian, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Beliau berkata kajian lebih lanjut turut dilakukan tentang langkah-langkah seterusnya yang boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan-bulan yang datang.

“Bagaimanapun, bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuklah pakej PEMERKASA Tambahan yang diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-58, yang dikeluarkan, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, PPN akan dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau indikator-indikator utama yang perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa yang seterusnya.

Indikator utama yang dipantau ialah bilangan kes jangkitan harian; keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU, serta tahap populasi yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Ini bermakna, sekiranya nilai ambang yang ditetapkan tidak dicapai, negara tidak akan bergerak ke fasa berikutnya di dalam PPN,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga melindungi individu yang hilang pekerjaan daripada semua golongan dan juga mereka yang terjejas dalam sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Fasa 1, 2 dan 3.

Sebagai satu bentuk perlindungan daripada masalah kewangan dan aliran tunai, beliau berkata, mereka boleh mendapatkan moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Kementerian Kewangan telah menekankan kepada sektor perbankan supaya mempermudahkan pelaksanaan bantuan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman kepada mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau pun pengurangan pendapatan,” katanya.

Sementara itu, jumlah permohonan bagi dana pinjaman mudah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS adalah RM12.14 bilion setakat 11 Jun 2021, yang akan memberi manfaat kepada 25,711 PKS.

Tengku Zafrul berkata jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2021 dijangka mencapai angka lebih tinggi berbanding tahun lalu, berikutan wujudnya tanda-tanda positif bahawa ekonomi negara sedang dalam tahap pemulihan dengan pakej-pakej rangsangan kerajaan yang membuahkan hasil.

“Setakat suku kedua tahun ini, negara telah mencapai nilai hampir RM100 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama, dengan keyakinan tinggi bahawa tahap pelaburan lebih tinggi mampu dicapai menjelang akhir tahun ini termasuk pelaburan langsung asing,” tambahnya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat