Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur merupakan titik tumpuan utama bagi para Pemimpin Negara Anggota ASEAN dalam menilai kemajuan Komuniti ASEAN secara menyeluruh merentasi tiga tonggak utama: Politik-Keselamatan, Ekonomi, dan Sosio-budaya.
Sidang ini bukan sahaja berperanan sebagai forum perundingan berprofil tinggi mengenai isu-isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama, malah turut menjadi landasan dasar jangka panjang bagi masa depan ASEAN.
Salah satu pencapaian paling bersejarah dalam Sidang ini ialah pemeteraian ASEAN 2045: Our Shared Future, yang bakal menggantikan dokumen ASEAN 2025: Forging Ahead Together. Visi Komuniti ASEAN yang baharu ini akan mengemudi arah hala tuju rantau ini untuk dua dekad akan datang dengan tumpuan kepada daya tahan, inovasi, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
ASEAN 2045: Our Shared Future mengandungi enam dokumen strategik termasuk Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 menegaskan komitmen Negara Anggota dalam membina Komuniti ASEAN yang berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran megatrend global seperti perubahan iklim, teknologi disruptif dan krisis ketidaktentuan geopolitik. Pelan-Pelan Strategik di bawah ketiga-tiga tonggak utama Komuniti ASEAN termasuk ASEAN Connectivity akan menjadi tulang belakang pelaksanaan Visi ini.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia memikul tanggungjawab besar dalam memacu dan menyelaras agenda pembangunan serantau. Peranan ini membuka memberi pelbagai manfaat strategik buat negara, baik dari sudut dasar, geopolitik mahupun ekonomi.
Pertama, Sidang ini akan memacu agenda pembangunan negara dan serantau. Kepimpinan Malaysia dalam menyusun hala tuju ASEAN 2045 memberi peluang untuk menyepadukan dasar pembangunan nasional seperti Malaysia MADANI dengan kerangka pembangunan serantau. Fokus Malaysia terhadap keterangkuman sosial, kemampanan ekonomi dan pengurangan jurang pembangunan antara negara dan komuniti akan dapat diselaraskan dalam pelaksanaan agenda serantau, menjadikan ASEAN lebih responsif terhadap cabaran bersama seperti kemiskinan, perubahan iklim, dan keterasingan teknologi.
Sidang ini juga menyerlahkan kepentingan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) iaitu mengekalkan ASEAN sebagai entiti utama dalam memperkukuh arkitektur membentuk struktur kerjasama serantau yang terbuka, inklusif, aman danberlandaskan peraturan. berdaya tahan. Dalam suasana dunia yang semakin multipolar, Malaysia memainkan peranan penting untuk memastikan ASEAN kekal relevan dan menjadi rujukan dalam menangani cabaran global.
Kedua, Sidang ini akan mengukuhkan imej dan peranan Malaysia di pentas antarabangsa. Malaysia berjaya membuktikan komitmennya dalam memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan dialog dan luarnya seperti China dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta memposisikan dirinya sebagai jambatan strategik antara Timur dan Barat dalam pelbagai isu daripada perdagangan dan tenaga sehingga ke keselamatan siber dan digitalisasi ekonomi.
Ketiga, Sidang ini akan memberi manfaat ekonomi dan pelaburan langsung kepada Malaysia. Kehadiran ribuan delegasi dari dalam dan luar ASEAN, akan mencetuskan limpahan ekonomi yang ketara kepada Malaysia. Sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan makanan & minuman mencatatkan lonjakan permintaan. Peniaga tempatan, usahawan kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) turut menikmati peluang ekonomi hasil daripada penganjuran berskala besar ini.
Keempat, Sidang ini akan membawa kepada peningkatan kapasiti diplomatik dan dasar awam dengan memperkasa aparat dasar luar Malaysia, terutamanya Wisma Putra dan Kementerian-Kementerian berkaitan, untuk memperluas rangkaian kerjasama dua hala dan pelbagai hala. Peluang ini juga membolehkan Malaysia meneroka bidang baharu seperti perdagangan dalam mata wang tempatan (LCT), teknologi hijau, piawaian halal serantau serta pelaburan mampan rentas sempadan yang kini menjadi topik utama dalam agenda ASEAN masa hadapan.
Tambahan pula, turut sama berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 yang merupakan platform strategik yang menghimpunkan para pemimpin ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang. Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai USD130.7 bilion. Walaupun mencatat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, unjuran masa depan kekal positif, disokong oleh perdagangan tenaga yang kukuh serta kerjasama sektoral yang semakin berkembang. Dari segi pelaburan, GCC telah menyumbang sebanyak USD390.2 juta kepada ASEAN, mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat dan potensi kerjasama ekonomi yang masih belum diterokai sepenuhnya.
Turut akan dilangsungkan ialah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang merupakan inisiatif baharu yang dipelopori oleh Malaysia dalam kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN. Sidang ini diwujudkan khusus untuk meneroka peluang kerjasama tiga hala yang unik dalam bidang ekonomi dan pelaburan antara ASEAN, GCC dan China. Mengambil kira pertumbuhan pesat ekonomi ASEAN sebagai satu kuasa ekonomi utama dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah USD3.8 trilion pada tahun 2023, ia menjadikan ASEAN ekonomi kelima terbesar di dunia. Sementara itu, China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan keseluruhan bernilai USD696.7 bilion. Sidang Kemuncak ini dijangka menjadi pemangkin kepada perkongsian ekonomi tiga hala yang lebih mampan dan menyeluruh.
Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 membuktikan bahawa rantau ini bukan sahaja bersatu dalam aspirasi bersama, tetapi turut bersedia untuk melakar masa depan yang lebih progresif dan inklusif. Malaysia, sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025, telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan serantau, mengukuhkan jaringan diplomatik, dan membuka ruang kerjasama baharu yang strategik. Melalui pelancaran Visi Komuniti ASEAN 2045 serta inisiatif seperti Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China, ASEAN kini berada pada landasan kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi dan geopolitik yang lebih berdaya saing di persada antarabangsa.
Sidang ini bukan sahaja membawa pulangan segera dari sudut ekonomi dan diplomasi, malah memperteguh tekad kolektif Negara-negara Anggota untuk membina sebuah Komuniti ASEAN yang lebih sejahtera, tangkas dan berdaya tahan demi generasi akan datang.
****DR. Syed Agil Shekh Alsagoff ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46: Membina Masa Depan Bersama – DR. Syed Agil Shekh Alsagoff
- Advertisement -
-- Iklan --
-- Iklan --