Dua beregu campuran negara rebut slot final Masters Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan menjadi ujian sukar buat gandingan nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila kedua-dua pasangan itu membuat perhitungan di separuh akhir Masters Malaysia, esok.

Kekuatan mental yang ditunjukkan Soon Huat-Shevon ketika melepasi peringkat suku akhir menjadi bukti pasangan itu akan menjadi ancaman besar buat Tang Jie-Ee Wei dalam usaha ke pentas final.

Soon Huat yang mengalami kecederaan pergelangan tangan dan pinggul kanan ketika pusingan kedua, menunjukkan daya tahan tinggi ketika memimpin isterinya ke separuh akhir.

Pada aksi suku akhir di Axiata Arena, hari ini, Soon Huat-Shevon yang turun menentang pilihan ketujuh dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati tewas pada set pertama 12-21.

Namun, pasangan negara yang berada di ranking ke-18 dunia itu bangkit pada dua set berikutnya dengan kemenangan 21-17, 21-17 untuk menempah pertemuan menentang Tang Jie-Ee Wei.

“Perlawanan hari ini, saya gembira kerana kami tidak berputus asa walaupun Soon Huat ada kecederaan yang dialami pada perlawanan kedua.

“Kita berjaya mengawal pemikiran dan rentak, dia (Soon Huat) pula menahan sakit, apa lagi psikologinya pula goyang kerana takut berlaku kecederaan lebih serius,” kata Shevon.

Berdepan Tang Jie-Ee Wei, gandingan profesional itu mendahului dengan rekod 2-1 termasuk pada pertemuan terakhir di Terbuka Switzerland, Mac lalu.

“Kita beberapa kali bertemu dan mereka memang sukar. Walaupun kami menang pada pertemuan terakhir, ini adalah perlawanan baharu dan setiap kejohanan persekitarannya berbeza.

“Kami mempunyai kelebihan pengalaman tetapi mereka pasangan muda, lebih pantas dan ada kekuatan,” tambah Shevon.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei ke separuh akhir selepas mengatasi satu lagi pasangan negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Gandingan nombor sembilan dunia itu memenangi aksi suku akhir dengan keputusan 21-19, 21-14, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepda 3-0.

Pertembungan dua gandingan campuran negara di separuh akhir esok menyaksikan Malaysia sudah menjamin satu slot di pentas final dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan beregu campuran di Masters Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menjuarai beregu campuran adalah pada edisi 2017 ketika kejohanan itu bertaraf Grand Prix (GP) Emas yang menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul juara. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat