Ismail Sabri Kesal Kerajaan Tidak Teruskan Pembinaan Litar Drag Setiap Negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kesal apabila Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah memutuskan tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri seperti dirancang kerajaan terdahulu.

Ismail Sabri menyatakan Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinannya sebelum ini telah memperuntukkan RM20 juta dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag untuk memberi peluang kepada belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

“Saya berasa kesal dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan di Parlimen pada 23 Mei 2023 mengenai keputusan Kerajaan untuk tidak meneruskan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri.

“Ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan dalam Bajet 2023 bagi pembinaan litar perlumbaan drag ini,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan pada Rabu.

Justeru, beliau mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meninjau dan melawat litar perlumbaan drag yang telah siap
dibina di Terengganu dan Johor.

Jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi, kos pembinaan litar drag di Johor adalah pada kadar minimum seperti pembinaan litar dan pagar keselamatan sahaja berbanding di Terengganu yang menelan kos lebih tinggi kerana mempunyai tempat duduk grandstand.

“Pembinaan litar drag di Jempol, Negeri Sembilan yang siap pada tahun 2022 juga hanya melibatkan kos sebanyak RM1.3 juta iaitu satu usaha kerjasama di antara agensi swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Menteri Belia dan Sukan seolah-olah tidak memahami aspirasi anak muda dan minat mereka dalam bidang permotoran ini, kata Ismail Sabri.

“Pihak KBS diharap dapat memberi pertimbangan sewajarnya akan cadangan tersebut agar satu penyelesaian tuntas dapat diberikan dan
seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para belia.

“Litar drag ini juga akan menjadi platform terbaik untuk menarik lebih ramai tenaga pengajar professional untuk melatih belia dan seterusnya melahirkan bakat baharu dalam sukan permotoran negara.

“Kekurangan platform dan kompleks sukan permotoran ini merupakan salah satu punca peningkatan masalah sosial dalam kalangan belia seperti perlumbaan haram, aktiviti samseng jalanan dan melepak,” bidas beliau.

Semalam Hannah Yeoh berkata di Dewan Rakyat, kerajaan tidak merancang untuk meneruskan cadangan kerajaan terdahulu bagi mewujudkan litar drag di setiap negeri.

Menurut Hannah, kerajaan akan menanggung kos selenggara tinggi sekiranya cadangan itu diteruskan.

“Buat masa ini, kementerian sedang menumpukan usaha untuk menaik taraf dan membaik pulih fasiliti sukan sedia ada.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk membina litar lumba drag, Yang Berhormat boleh menghantar permohonan untuk dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, sebarang permohonan pembinaan fasiliti sukan baharu hanya akan dipertimbangkan sekiranya ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Menteri Ekonomi,” jelas Hannah Yeoh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat