J-KOM Dakwa PAS Gagal Bangunkan Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setelah 43 tahun PAS mentadbir Kelantan banyak kelemahan kepimpinannya yang disembunyikan dengan menggunakan bangsa dan agama.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusof berkata, PAS sepatutnya mempunyai idea dan perancangan untuk memajukan Kelantan selepas mentadbir negeri itu selama 43 tahun.

Menurut beliau, berpuluh tahun PAS memerintah di Kelantan, masalah keperluan asas negeri masih tidak selesai.

“Jika ditegur, muncul pengkritik tegar yang marah-marah sedangkan tujuan teguran adalah untuk kebaikan negeri dan rakyat.

“Selama 33 bulan ketika (PAS) menjadi Kerajaan Pusat, apa yang PAS buat untuk bantu Kelantan? Adakah bersuara menuntut hak Kelantan? Usahkan bersuara, royalti minyak yang sedang dibicarakan di mahkamah pun ditarik balik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Agus, PAS bukan sahaja gagal mentadbir Kelantan dengan baik, malah kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan Kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca negeri Kelantan menghadapi masalah bekalan air bersih, kediaman dan barangan keperluan harian juga tidak masuk akal.

Jelas Agus lagi, Anwar memegang jawatan menteri kewangan pada tahun 1991 ketika beliau menjadi naib presiden Umno sehinggalah dipecat dari parti dan kerajaan pada 2 September 1998.

“Beliau menjadi Perdana Menteri bermula 24 November 2022, baharu enam bulan.

“Peliknya, kenapa Abdul Hadi tidak menyalahkan bekas Perdana Menteri ketika itu? Mengapa tidak dipersalahkan juga menteri kewangan sebelum dan selepas Anwar pada tahun 1998?” katanya.

Mohammad Agus turut mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Marang itu tidak membawa perkara ini ke Parlimen dan bersemuka dengan Anwar dan menyatakan kepadanya beliaulah penyebab rakyat Kelantan minum air kotor selama ini.

“Sebaliknya, ketika sesi soal jawab bersama Persana Menteri, beliau tidak hadir, dan jikapun hadir diam sahaja.

Dalam pada itu Agus juga mengingatkan Hadi, Islam mahukan kerajaan yang cekap dan berkemampuan dengan melantik pegawai yang berkelayakan, bukannya mengamalkan kronisme.

“Islam juga mahukan pemimpin melaksanakan janji-janji pembangunannya, bukan sekadar mengumumkan projek, meletakkan batu asas dan selepas itu diam,” katanya.

Justeru Agus menyeru anak muda dan rakyat Kelantan untuk mencari kaedah membangunkan Kelantan.

“Penyelesaiannya mudah, rakyat Kelantan patut keluar dari kepompong PAS dan memilih pemimpin yang komited untuk membangunkan Kelantan,” katanya.

Sebelum ini Hadi mendakwa masalah dihadapi kerajaan Kelantan adalah kerana Kerajaan Persekutuan tidak menghormati prinsip demokrasi dengan menyekat bantuan kepada kerajaan negeri sejak 1991 ketika Anwar memegang jawatan menteri kewangan lagi.

Abdul Hadi berkata urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati.

“Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh PAS.

“Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh PAS? Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh negeri Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat