PM Beri Sumbangan Peribadi Bantu Keluarga Ku Hamzah

- Advertisement -

KOTA BHARU – Kisah keluarga Ku Hamzah Ku Lah yang hidup susah dan mendiami rumah pusaka usang di Kampung Senang dekat Sering, di sini, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang membuat sumbangan peribadi bagi membantu keluarga itu.

Berita gembira itu disampaikan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman yang memaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membina sebuah rumah baharu kepada keluarga berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya mewakili Perdana Menteri menziarah keluarga ini atas arahannya kerana beliau sedang melakukan lawatan kerja rasmi di Jepun.

“Rumah keluarga ini akan dibina dalam masa terdekat di atas tapak asal. Kita harap selepas ini keluarga ini tidak perlu lagi berada dalam keadaan tidak selesa disebabkan keadaan rumah yang amat daif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga Ku Hamzah, hari ini.

Seorang blogger yang menziarahi keluarga berkenaan baru-baru ini, telah menguar-uarkan kisah Ku Hamzah, 56, yang mempunyai masalah kesihatan apabila disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa melakukan kerja kampung termasuk mengutip tin minuman untuk dijual bagi menyara keluarga.

“Saya bersama isteri, Faridah Mat Sallah, 40, serta empat anak berusia enam hingga 13 tahun sebelum ini terpaksa menetap di rumah pusaka ini yang semakin uzur kerana tidak mampu untuk membaikinya,” kata Ku Hamzah.

“Selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sejak awal tahun ini saya hanya bergantung harap dengan melakukan kerja kampung termasuk mengutip tin minuman untuk dijual,” katanya yang bersyukur dengan keprihatinan Perdana Menteri membantu beliau sekeluarga. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat