Apandi Kalah Kes Saman Fitnah RM10 Juta Ke Atas Kit Siang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak saman RM10 juta yang difailkan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap veteran DAP Lim Kit Siang yang didakwa memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Azimah Omar memutuskan bahawa Kit Siang berjaya mewajarkan keistimewaan yang layak dimilikinya apabila membuat kenyataan itu kerana skandal 1MDB melibatkan jenayah, menyalahi undang-undang, kesan sosial, ekonomi kepada ekonomi negara serta moral pemimpin dan agensi tertinggi negara.

“Ia baik dari segi hak rakyat. Ia bukan sahaja soal defendan (Kit Siang) sebagai ahli Parlimen – kepentingan dan kewajipan untuk menyuarakan kekecewaan dan permusuhan mereka, terutamanya apabila semua jalan (aduan) telah habis diusahakan, dan segala usaha itu langsung tidak dipedulikan.

“Defendan menyuarakan pendapatnya kepada orang ramai kerana dia melaksanakan pelaporan yang bertanggungjawab,” katanya dan memerintahkan supaya Mohamed Apandi membayar kos RM80,000 kepada Kit Siang seperti dilaporkan Bernama.

Hakim memutuskan kenyataan Kit Siang wajar apabila menggesa Mohamed Apandi menjawab mengapa dia membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada dikaitkan dengan skandal 1MDB pada 2016.

Hakim Azimah berkata Kit Siang wajar membangkitkan isu itu, terutamanya berikutan bekas perdana menteri itu telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi KL pada 2020 dalam kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Beliau seterusnya berkata sabitan Najib telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas.

Mohamed Apandi, 72, hadir di mahkamah pada Isnin, manakala Kit Siang, 81, menyertai prosiding secara dalam talian.

Terdahulu, Hakim Azimah menegur Kit Siang kerana tidak hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan berhubung saman itu.

“Sebagai ahli Parlimen, Kit Siang sepatutnya tahu undang-undang dan sebagai defendan, dia sepatutnya menghormati mahkamah ini,” kata hakim yang berang dengan ketidakhadiran Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Peguam Kit Siang, Sangeet Kaur Deo dalam jawapannya mengaku yang dia tersilap apabila tidak memberitahu anak guamnya supaya hadir di mahkamah.

“Kami memohon maaf terhadap perkara ini. Kami ingatkan adalah memadai dengan kehadiran sedia ada. Dia (Kit Siang) boleh dihubungi menerusi Zoom sekiranya dibenarkan mahkamah,” katanya.

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi menyaman Kit Siang, dan dalam penyataan tuntutan mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang telah menulis dan membawa kepada penerbitan artikel bertajuk, Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity dalam Malaysiakini.

Beliau mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Peguam Negara.

Mohamed Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,590FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat