Gelandangan Rai Hari Raya Pertama Bersama Menteri Di Pusat Penempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Terpamer wajah-wajah gembira pada pagi raya dalam kalangan gelandangan di Pusat Komuniti Sentul hari ini.

Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, kumpulan ini yang hampir mencecah 1,000 orang mula mendapat perhatian kerajaan yang memberikan tempat tinggal serta bantuan kesihatan untuk mereka.

Bukan itu sahaa, kini melalui inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, hampir 70 peratus daripada kumpulan ini bukan sahaja mempunyai tempat tinggal malah kini sudah mempunyai pekerjaan.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis pemberian sumbangan berbentuk duit raya serta barangan keperluan asas serta makanan sempena sambutan Aidilfitri kepada gelandangan, Annuar tampak lega dan berpuas hati.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional mendedahkan sekurang-kurangnya 360 gelandangan akan dihantar untuk kursus pemulihan serta motivasi di Kuantan, Pahang dan juga Sepang, Selangor minggu hadapan.

“Ada sebahagian daripada gelandangan sebelum ini sudah di hantar ke beberapa tempat seperti kilang, perladangan untuk memulakan alam pekerjaan setelah menjadi gelandangan untuk sekian lama.

“Sejak dua minggu ini, kita sudah memulakan proses pengambilan kerja, sesi temuramah dengan beberapa syarikat besar sebelum kita hantar mereka ke lokasi tertentu bagi memulakan kerja.

“Kebanyakan mereka akan menerima gaji harian selain daripada disediakan tempat tinggal malah ada juga majikan memberikan kemudahan makan minum, semua ini untuk memastikan kumpulan ini tidak lagi kembali ke alam gelandangan.

“Baki yang ada kini ada segelintirnya kita akan hantar ke kursus pemulihan serta motivasi. Saya telah lulus sejumlah dana untuk tujuan ini kerana pada saya ianya satu keperluan.

“Untuk itu, kita berunding dengan pusat motivasi dan pemulihan di Kuantan. Seterusnya, 300 gelandangan yang terlalu dengan cara hidup sekarang, turut akan diberikan kursus di selama sebulan di Sepang,” katanya.

Sambung Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, beliau amat komited dalam memastikan sesuatu yang berkesan dilakukan kepada golongan ini supaya masalah gelandangan dapat di atasi kerana ianya isu menghantui ibu kota untuk sekian lama.

“Kalau ada yang terbabit dalam pengambilan dadah dalam sejarah hidup mereka, tetapi mereka sudah sihat dan mahu bekerja, mereka perlukan pemulihan untuk jangka masa panjang.

“Kursus diberikan untuk meningkatkan kebolehan dan keyakinan diri sebelum memasuki alam pekerjaan kelak.

“Kumpulan ini perlukan latihan kerana saya percaya ia bukan soal bagi makan dan kerja sahaja. Tetapi juga potensi manusia. Mereka ada potensi tetapi ia tidak dapat dizahirkan kerana sama ada sikap atau cara berfikir,” ujarnya.

Jelas Annuar kementerian beliau turut dibantu tentera dan pakar psikologi, dalam usaha memastikan gelandangan berkenaan mendapat kaunseling dan menjalani latihan secara sistematik.

“Ia untuk membiasakan mereka dengan alam pekerjaan. Ini memakan kos RM3.4 juta kerana kita terpaksa sewa tempat, beri makanan dan peralatan kemudahan kursus kerana penyeleseaian babitkan gelandangan tidak boleh dibuat sementara,” dedahnya lagi.

Selepas tamat kursus, sebahagian daripada gelandangan ini akan menjalani temu duga, manakala sebahagian besar yang lain, kalau tidak dapat tawaran pekerjaan, akan dimasukkan ke dalam satu pasukan untuk bantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Rata-rata mereka akan terlibat dengan program pengindahan kebersihan dan keceriaan bandar. Mereka akan diberikan kerja secara harian dan diberi gaji secara harian. Pendapatan bulanan mereka RM1,200. Itu yang minimum,” ujarnya.

Bagi menangangi gelandangan yang uzur, tua, dan kelainan upaya akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara segelintir penagih dadah tegar pula mereka akan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

“Warga asing yang tidak mempunyai dokumen pula kita serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat