KUALA LUMPUR – Industri pengangkutan awam negara bakal melalui fasa transformasi baharu apabila empat syarikat tempatan menjalin kerjasama strategik untuk memperkenalkan teksi kenderaan elektrik (EV) dengan sistem penukaran bateri automatik.
Inisiatif di bawah program Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) melibatkan EV Auto Works Sdn. Bhd., Voltgem Energies Sdn. Bhd., GV Car Import Sdn. Bhd. serta Alirantek (M) Sdn. Bhd..
Kerjasama itu turut disokong oleh wakil Gabungan Teksi Malaysia bagi memperkukuh hala tuju industri teksi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, kolaborasi berkenaan bertujuan mempercepatkan peralihan industri teksi dan e-hailing ke arah penggunaan EV berteknologi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Menurut beliau, antara komponen utama inisiatif itu ialah sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan oleh Voltgem Energies, yang membolehkan bateri kenderaan ditukar dalam tempoh singkat tanpa perlu menunggu proses pengecasan.
“Teknologi ini hampir menghapuskan masa henti operasi kenderaan, sekali gus meningkatkan kecekapan dan membantu pemandu menjana pendapatan lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya.
Beliau menambah, inisiatif tersebut juga dirangka sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri.
Selain itu, pakej komprehensif turut ditawarkan kepada pemandu termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, kadar sewaan kenderaan serendah RM80 sehari serta penyelenggaraan penuh meliputi komponen “wear and tear”.
Pemandu juga akan menerima jaminan bateri sepenuhnya, perlindungan insurans serta caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam aspek keselamatan, semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional dengan penekanan terhadap keselamatan pemandu serta penumpang.
Mengulas lanjut, Kabeer berkata kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan projek pemasangan tempatan EV secara Completely Knocked Down (CKD), dengan fokus kepada pengeluaran kenderaan berteknologi penukaran bateri di Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang pemindahan teknologi serta memperkukuh ekosistem industri EV tempatan.
“Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri di peringkat ASEAN,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu dijangka memberi impak jangka panjang termasuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik nasional, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan mesra alam.
Beliau turut berharap agar inisiatif tersebut mendapat sokongan penuh daripada agensi kerajaan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pengangkutan.- SuaraTV



