BUTTERWORTH, 24 April 2026 — Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, hari ini meninjau pelaksanaan serta kemajuan projek Jalur Lebar Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di negeri Pulau Pinang.
Projek Jalur Lebar RKAT ini terus diperkasa bagi meningkatkan akses Internet berkelajuan tinggi yang berkualiti dan mampu milik untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan digital rakyat.
Projek tersebut merupakan inisiatif nasional hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysai (MCMC) dan ATM menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 11 Oktober 2024, melibatkan lebih 59,000 unit RKAT di 73 kem tentera seluruh negara.
Melalui inisiatif ini, warga ATM yang mendiami RKAT disediakan kemudahan jalur lebar berasaskan rangkaian gentian optik, dengan pakej langganan pada harga RM49.00 sebulan bagi kelajuan 100 Mbps. Turut ditawarkan harga promosi RM39.00 sebulan untuk tempoh enam bulan pertama langganan.
Kemudahan Internet berkelajuan tinggi ini dijangka dapat meningkatkan kualiti hidup warga ATM, khususnya dalam menyokong keperluan pendidikan anak-anak, urusan komunikasi harian serta kesejahteraan digital keluarga, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Pelaksanaan Projek Jalur Lebar RKAT menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan di seluruh negara. Sebuah RKAT telah siap sepenuhnya dan kini beroperasi, manakala enam kem lain telah menamatkan kerja pemasangan rangkaian serta berada dalam fasa integrasi dan pengujian.
Sebanyak 62 kem masih dalam peringkat pelaksanaan kerja infrastruktur sivil serta pemasangan rangkaian gentian optik. Bagi lima kem selebihnya, pelaksanaan projek akan dimulakan selepas kerja naik taraf RKAT oleh pihak kem selesai.
Di Pulau Pinang, tiga kem ATM terlibat di bawah inisiatif Projek Jalur Lebar RKAT, iaitu Kem PU Butterworth, Kem Sungai Ara dan Kem Bukit Gedong melibatkan sebanyak 1,358 unit RKAT.
Di bawah pentadbiran Kem PU Butterworth, satu daripada empat projek RKAT, iaitu RKAT Perumahan Pegawai berjaya disiapkan dan telah beroperasi. RKAT tersebut melibatkan 30 unit rumah, dengan dua unit melanggan pakej Perajurit Broadband, manakala tiga projek RKAT lain kini berada dalam peringkat pemasangan rangkaian gentian optik.
Kerajaan, melalui MCMC, akan terus memantau pelaksanaan projek ini secara berterusan bagi memastikan akses Internet berkelajuan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh oleh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), seterusnya merapatkan jurang digital dan memperkukuh kesejahteraan komuniti Angkatan Tentera Malaysia.



